Datuk Zainuddin Yaacob. foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis menasihati orang ramai berwaspada dengan sindiket pelaburan online M2DCOIN.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis mengenai pelaburan saham mata wang kripto itu baru-baru ini.

Menurutnya, pelabur dijanjikan keuntungan yang tinggi selepas membuat pembayaran melalui orang tengah.

“Siasatan mendapati, pelaburan ini mula beroperasi sekitar pertengahan tahun lepas.Pelabur akan dihubungi melalui aplikasi Whatapss dan ditawarkan menyertai pelaburan.

“Pelabur berminat akan diberikan kemudahan untuk mengakses platform M2DCOIN bagi memudahkan mereka membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainuddin, siasatan juga mendapati platform M2DCOIN adalah laman web digital exchanger luar negara yang menggunakan hosting di Arizona, Amerika Syarikat.

Laman itu sudah beroperasi selama sembilan bulan dan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan operasi mata wang kripto dari mana-mana negara dan ia kini tidak dapat diakses, katanya.

Justeru beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau telah melabur dalam skim yang sama untuk membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan.- MalaysiaGazette