MAB Kargo Sdn. Bhd. menerima tiga kelulusan 3 ATR.

KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 pada jam 10 pagi esok.

Vaksin itu dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo) dalam penerbangan Passengerto-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Ketibaan vaksin ini akan disaksikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.

Menurut Lembaran Fakta Ketibaan Vaksin oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, 312,390 dos vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express, yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.

Menurut lembaran itu lagi, vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021 lalu.

Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Januari yang lalu untuk pembelian vaksin ini, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.

Malaysia akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Februari 2021 dengan suntikan sulung yang akan diterima oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama petugas barisan hadapan.

Ada tiga peringkat Program Imunisasi iaitu:
o Fasa 1 (Februari – April 2021): petugas barisan hadapan;
o Fasa 2 (April – Ogos 2021): warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi; dan
o Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022): penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas. – MalaysiaGazette