KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk memulakan sesi persekolahan mulai Mac ini diterima baik oleh para ibu bapa.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, ibu bapa beranggapan sudah tiba masanya anak-anak dibenarkan untuk ke sekolah selepas berbulan-bulan hanya belajar dari rumah.
Bagaimanapun ujar Siti Farah Ain Jasni, 30, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak-anak untuk sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekolah sebagai langkah mengawal penularan jangkitan Covid-19.
“Bagi saya tidak ada masalah, saya sendiri bekerja di rumah, boleh pantau kalau dia belajar dari rumah tapi kalau di ke sekolah pun saya boleh fokus kepada kerja. Bagi saya tepat pada masanya untuk anak saya sekolah.
“Takut tu ada tapi kena jaga SOP, saya pun di rumah ajar dia macam mana jaga penjarakan fizikal, selalu pakai cecair nyah kuman,” katanya.
Tambah Farah, beliau telah membuat persiapan lebih awal untuk anaknya yang berusia tujuh tahun untuk memulakan persekolahan bulan depan.
“Bagi saya tepat pada masanya, lagipun saya dah sedia baju sekolah anak lebih awal jadi tidaklah kelam kabut. Saya memang sudah bersedia untuk dia ke sekolah,”tambahnya.
Bagi Hishamuddin Muhammad, 35, beliau turut menyifatkan Mac depan merupakan masa yang sesuai untuk memulakan sesi persekolahan kembali, kerana jelasnya pengajaran dan pembelajaran secara fizikal memberi kesan yang berbeza dengan berbanding menerusi atas talian atau secara online.
“Sudah tiba masanya, anak pun sudah berkurung lama, belajar berdepan (secara fizikal) lebih awal. Sekarang ini memang hari-hari ajar tentang SOP,” katanya.
Semalam Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan kerajaan memutuskan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara mula bersekolah pada 1 Mac.
Manakala murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam mula bersekolah pada 8 Mac.
Bagi pelajar sekolah menengah, mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April ini bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi sekolah di negeri lain pada 5 April.
Dalam pada itu, lain pula bagi Mohana a/p Nathakrishnan, 38, yang mendakwa bimbang melepaskan anaknya berusia 10 tahun ke sekolah mulai Mac nanti.
Kata suri rumah itu, ini kerana jumlah kes harian Covid-19 masih menunjukkan berlaku penularan sehingga mencecah ribuan kes.
Namun, beliau juga tidak dapat menafikan bahawa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak akan dapat diadaptasikan oleh semua murid, apatah lagi yang tidak berkemampuan.
“Sebenarnya pada saya sekarang masih belum sesuai untuk buka sekolah, apatah lagi untuk budak masih kecil, takutlah.
“Anak saya pun mahu ke sekolah, seorang sekolah rendah 10 tahun, Sebab Covid-19 ini masih tinggi kan, masih lebih 2,000 kita tidak tahu virus itu di mana.
“Belum patut lagi (mulakan sesi persekolahan), tapi pelajaran dari rumah terlalu lama pun tidak boleh juga,” menurutnya. -MalaysiaGazette