Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berkongsi pengalaman mengenai penerimaan masyarakat setempat terhadap seseorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

Beliau pernah ditertawakan oleh pelajar Melayu yang menuntut di Melbourne, Australia gara-gara tidak dapat menyebut perkataan dengan betul ketika menghadiri parti barbeku di sebuah taman.

Azizulhasni yang menjalani latihan di Melbourne pada 2007 berkata, seperti biasa beliau suka berbual ketika menghadapi sesuatu majlis perjumpaan walaupun tidak kenal individu tersebut kerana ingin meningkatkan kemahiran komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris.

“Ntah macam mana our conversation adalah berkenaan dengan Chromosome, DNA dan RNA semua ni lah.

“Dalam kepala saya teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia. Kita sebut Gen2 adalah ‘Jen Tu’ kan. Jadi saya dengan yakinnya menyebut ‘Jen’ untuk merujuk kepada ‘Gene’ dan sebutan saya itu salah.

“Sebutan yang betul adalah Jin,” katanya dalam laman Facebook sambil menambah dua pelajar Melayu itu terus mentertawakannya.

Tambah beliau, pelajar perempuan yang sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya manakala pelajar lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang ketika itu sedang minum air sirap.

Menurut Azizul, kedua-keduanya pelajar tersebut langsung tidak memberitahu kesilapan beliau dan hanya sedar selepas ada antara rakan mereka menceritakan kepadanya setelah di canang-canang kisah tersebut.

“Saya langsung tidak sakit hati dan marah, kerana saya tahu tahap saya dan saya masih lagi dalam proses untuk belajar. Itulah sikap orang Melayu kita, kawan-kawan yang dikasihi sekalian.

“Itu sekitar tahun 2007 tu, ni kita dah masuk era baru tahun 2021 pun, masih ramai dari kalangan kita yang mempunyai perangai menggelabah seperti itu,” ujarnya.

Baru-baru ini, seorang guru, Rafidah Rahmat berbahasa Inggeris ketika mengajar subjek Sains untuk pelajar Tahun 2, dijadikan bahan jenaka daripada cara penyampaian dan sebutannya.

Kata Azizulhasni, perkara berbeza berlaku ketika beliau berada dalam kalangan Mat Salleh (orang Barat).

Tambah jaguh berbasikal negara itu, beliau bukan mahu memuji mereka tapi akhlak Mat Salleh sangat jauh terpuji berbanding bangsanya.

“Banyak kali saya tersilap ketika berkomunikasi, tetapi mereka membantu perbetulkan sama ada dari segi grammar (nahu) mahupun sebutan dan sebagainya.

“Langsung tidak ada gelak-gelak memperlekeh dan jauh sekali mereka memerli. Berdasar pengalaman saya, 100% dari mereka semuanya begitu dan belum pernah saya digelakkan mereka kerana membuat kesilapan ketika berkomunikasi.

“Dan di kalangan rakan-rakan Mat Salleh saya, ada antara mereka yang mempunyai grammar berterabur juga walaupun mereka itu lahir dalam keluarga Mat Salleh,” ujarnya.

Malah, kata beliau, ada antara mereka yang tidak fasih mengeja dan mereka merujuk kepadanya untuk ejaan.

Menurut Azizulhasni, sepanjang pengalaman mengembara seluruh dunia, khususnya menyertai Sukan Olimpik, terdapat pelbagai bangsa dari pelbagai negara dan apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka juga mempunyai kesulitan untuk memahami loghat masing-masing namun sikap menghormati antara satu sama lain masih wujud dan ia merupakan contoh yang perlu rakyat Malaysia pelajari.

Tambahnya, beliau tidak berniat untuk mempertahankan mereka yang membuat kesalahan dalam bahasa Inggeris tetapi masyarakat tidak seharusnya memperlekeh dan merendahkan orang lain atas sebab itu.

Beliau turut mensihatkan mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris supaya sentiasa mencari ruang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan jangan cepat putus asa.

Bagi mereka yang pandai berbahasa Inggeris sepatutnya membantu mereka yang kurang pandai yang mana akan timbul satu perasaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit apabila berjaya membantu orang lain, ujarnya.

“Dan jika semua dari kita mempunyai sikap yang sama seperti ini, tidak ada sebab untuk masyarakat kita tidak melangkah maju ke hadapan.

“Kalau kita lihat dari segi pembangunan negara, kita sudah tidak jauh untuk mencapai status ‘Developed Country’ akan tetapi jika kita lihat dari segi sikap dan mentaliti pula, saya minta maaf, kita masih sangat jauh di belakang.

“Minta maaf, minta ampun rakan-rakan sekalian jika saya ada tersilap kata atau menyakiti sesiapa di luar sana,” jelasnya.

Azizulhasni berharap apa yang ditulisnya itu dapat membantu untuk membuka mata masyarakat untuk ke arah yang lebih baik. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.