KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menggalakkan komuniti orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya, termasuk Laluan Shah Alam, mendapatkan Pas Rapid Mesra bagi menikmati perjalanan percuma di seluruh rangkaian perkhidmatannya.
Pas Rapid Mesra merupakan antara inisiatif Prasarana dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam kekal inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, khususnya komuniti OKU yang bergantung kepada pengangkutan awam bagi memenuhi keperluan mobiliti dan menjalani aktiviti harian.
Prasarana memaklumkan, pemegang Pas Rapid Mesra boleh menikmati perjalanan percuma tanpa had menerusi perkhidmatan rel, bas dan van Rapid On-Demand kendalian Prasarana di Lembah Klang, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, kemudahan tambang ini melengkapi pelbagai fasiliti mesra OKU di rangkaian pengangkutan awam Prasarana, antaranya lif, laluan landai (ramp), tandas mesra OKU, tactile paving serta ruang khas untuk pengguna kerusi roda di dalam tren bagi memudahkan pergerakan dan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa.
Tambahnya, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan yang tersedia turut diperkukuh menerusi sesi tinjauan Prasarana bersama Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) di Laluan Shah Alam hari ini.
“Sesi tersebut memberi peluang kepada wakil komuniti OKU untuk melihat dan merasai sendiri kemudahan serta fasiliti yang disediakan di stesen dan di dalam tren laluan rel terbaharu kendalian Rapid KL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tinjauan berkenaan disertai Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi bersama wakil komuniti OKU, manakala Prasarana diwakili Ketua Bahagian Jaminan Kualiti Laluan Shah Alam, Noor Aqilah Ahmad Tajedi.
Menurutnya, laluan Shah Alam yang mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Jun lalu merupakan laluan rel terbaharu dalam rangkaian Rapid KL.
“Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Johan Setia, Klang dengan Bandar Utama, Petaling Jaya, sekali gus memperluaskan pilihan pengangkutan awam kepada komuniti di koridor barat Lembah Klang,” katanya.
Tambahnya, Prasarana mengambil maklum bahawa masih terdapat pengguna yang sedang membiasakan diri dengan perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan di Laluan Shah Alam, termasuk dalam kalangan komuniti OKU.
“Justeru, usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kemudahan mesra OKU serta bantuan yang tersedia akan terus dipergiatkan,” katanya.
Pada masa sama, tambahnya, pandangan dan maklum balas daripada komuniti OKU amat dihargai dalam membantu Prasarana mengenal pasti ruang penambahbaikan, bukan sahaja dari aspek kemudahan fizikal, malah penyampaian perkhidmatan, akses kepada maklumat serta pengalaman perjalanan secara keseluruhan.
“Prasarana akan terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan dan komuniti OKU bagi memastikan kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan sentiasa mengambil kira keperluan pengguna dengan tahap mobiliti yang berbeza,” katanya.
Tambahnya, pengguna OKU yang belum memiliki Pas Rapid Mesra digalakkan untuk membuat permohonan bagi menikmati kemudahan perjalanan percuma yang disediakan. – MalaysiaGazette
















