Bot mangsa (dalam bulatan) ditemui tengah sungai tanpa kelibat dirinya.

TASEK GELUGOR – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing ikan di Sungai Muda, Pinang Tunggal di sini.

Mangsa, Md Johari Md Isa,40, dikatakan tidak pulang ke rumah sejak semalam selepas keluar untuk memancing pada jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

“Pengadu mendakwa motosikal jenis Honda EX-5 anaknya ditemui di tebing sungai bersama barang peribadi.

Motosikal mangsa ditemui berhampiran tebing sungai.

“Susulan itu, dia melihat bot mangsa di tengah sungai namun tiada kelibat orang.

“Berdasarkan keadaan itu, dia syak anaknya terjatuh sungai dan lemas,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak bomba.

“Sehingga kini mangsa belum ditemui dan usaha mencari masih dilakukan,” ujar Noorzainy. – MalaysiaGazette