Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hilang sabar kes perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Ini kerana peguam mewakili Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh meminta penangguhan perbicaraan kerana memaklumkan kepada mahkamah pada saat akhir bahawa anak guamnya terdedah dengan seseorang yang  disahkan positif Covid-19.

Hamidi berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abd Aziz menghadiri mesyuarat parti di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) di Janda Baik yang dipengerusikan oleh Zahid Jumaat hingga semalam.

Berikutan itu, Collin mempersoalkan mengapa tertuduh tidak memberi keutamaan kes yang dihadapinya kerana pendakwaan sudah sampai di peringkat akhir.

“Jika asyik tangguh kes seperti ini, sampai bila kita habis perbicaraan ini? Sebenarnya kita sudah hendak selesai pendakwaan ini. Tindakan seperti ini beri impak kepada semua. 

“Sepatutnya seminggu sebelum perbicaraan, tertuduh jaga diri dan tidak menghadiri apa-apa mesyuarat atau majlis yang membolehkan dirinya terdedah seperti ini.

“Bukankah ini sebabnya kita sudah berikan tarikh-tarikh perbicaraan lebih awal supaya fokus kepada perbicaraan? Jadi apa maksudnya untuk beri alasan seperti ini walhal tertuduh perlu jaga diri?

“Saya minta tertuduh untuk beri kepada mahkamah surat kebenaran permit perjalanan rentas negeri dan bukti telah menghadiri mesyuarat MKT yang menunjukkan beliau menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Hamidi yang meminta penangguhan perbicaraan.

Antara lain yang menghadiri mesyuarat MKT itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mahkamah berehat sementara peguam bela mendapatkan dokumen-dokumen yang diminta oleh Hakim ketika ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran melahirkan rasa tidak senang dan memohon mahkamah mendapatkan jaminan perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi.

“Ini bukan kali pertama Yang Arif. Saya mohon supaya semua bukti dikemukakan kepada mahkamah, jangan hanya cakap kontak rapat tanpa beri apa-apa bukti.

“Tunjuk kepada mahkamah tertuduh ada dalam mesyuarat bersama-sama yang positif Covid-19 itu. Kami juga tidak faham bagaimana ketika masih PKP lagi, tertuduh boleh dapat kebenaran merentas negeri, mohon tunjuk permit juga,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, yang juga Presiden UMNO, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram milik dana Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. “Tunjuk kepada mahkamah tertuduh ada dalam mesyuarat bersama-sama yang positif Covid-19 itu. Kami juga tidak faham bagaimana ketika masih PKP lagi, tertuduh boleh dapat kebenaran merentas negeri, mohon tunjuk permit juga,” katanya. ”

    mintak juga salinan SOP yang mengatakan mesyuarat bersemuka tidak di benarkan semasa PKP 🙂

Comments are closed.