Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Satelit Langkawi, Kedah akan beroperasi bermula 1 Mac ini.

Menurut kenyataan LHDN, pada asalnya ia dikenali sebagai Pusat Khidmat Hasil (PKH) Langkawi sebelum dinaiktaraf sebagai Pejabat Satelit Langkawi.

“Pejabat Satelit Langkawi merupakan pejabat LHDN keempat selepas Pejabat Satelit Cyberjaya, Selangor; Pejabat Satelit Batu Pahat, Johor dan Pejabat Satelit Lahad Datu, Sabah,” katanya.

LHDN berkata, Pejabat Satelit LHDN berfungsi sebagai pusat sehenti yang terletak di luar kawasan cawangan utama.

Ia bertujuan untuk mendekatkan perkhidmatan lembaga itu kepada pembayar cukai di samping memberi perkhidmatan lebih luas berbanding PKH, termasuk perkhidmatan percukaian, duti setem dan perkhidmatan lain.

Tambah LHDN, pejabat Satelit Langkawi berada di bawah seliaan LHDN Cawangan Alor Setar.

“Ia menawarkan perkhidmatan percukaian (khidmat nasihat dan rundingan, pengauditan, pungutan dan lain-lain), duti setem, bantuan khas kerajaan (Bantuan Prihatin Rakyat) dan perkhidmatan ezHasil melalui MyTax (e-Daftar, e-filing, e-lejar, ByrHASiL, dan lain-lain.

“Pejabat Satelit Langkawi ditempatkan di LHDN Tingkat 1, Kompleks Pekan Rabu, Jalan Persiaran Putra, Kuah, Langkawi dan boleh dicapai menerusi telefon 04-9693633 dan faksimili 04-9693632,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan dan maklum balas boleh menghubungi lembaga itu dengan menghubungi Hasil CareLine di talian 03-89111000 atau 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklumbalas di portal rasmi LHDM di pautan pantas http;//maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. -MalaysiaGazette