Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia tidak perlu cemas dan gelojoh untuk membuat kenyataan mengaibkan mana-mana individu yang tidak berupaya bertutur Bahasa Inggeris (BI) dengan baik.

Ini kerana, sifat bahasa Inggeris adalah lebih rencam, justeru jika seseorang individu boleh bertutur dengan baik ia merupakan satu bonus.

Namun, jika sebaliknya, ia bukan tiket kepada mana-mana individu untuk menjatuhkan maruah seseorang apatah lagi Bahasa Inggeris bukan bahasa jati diri rakyat di negara ini.

Teguran itu dibuat oleh Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang kecewa dengan sikap sesetengah rakyat Malaysia yang mempersendakan individu lain hanya kerana gagal bertutur dalam BI dan seolah-olah ia satu ‘dosa besar.’

“Ketawa terbahak-bahak kerana kesilapan dan ketidakupayaan individu menuturkan bahasa Inggeris dengan baik semata-mata untuk mengaibkannya satu negara, untuk apa buat begitu? Dapat apa gelakkan orang lain?

”Kalau orang lain salah berbahasa Inggeris begitu cepat celik hati, kalau ada rakyat Malaysia yang silap ketika bertutur bahasa Melayu terus buta hati.

“Individu seperti ini bolehlah kita samakan dengan peribahasa ‘gajah di hadapan mata tak nampak, kuman di seberang lautan nampak’,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, individu-individu yang mengaibkan pihak lain atas alasan yang sama sepatut malu kerana penduduk dunia lain tidak pernah melihat kegagalan menguasai BI sebagai  masalah besar kepada negara mereka sehingga dijadikan bahan ketawa.

Sebaliknya mereka lebih prihatin jika bahasa ibunda mereka gagal dikuasai oleh rakyat masing-masing.

Beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia menambah, individu-individu terbabit sepatutnya malu kerana tindak-tanduknya tidak mencerminkan sifat malu, berbudi bahasa dan penyayang yang sepatutnya ada dalam kalangan rakyat Malaysia.

Perbuatan itu, samalah dengan satu jari menunjuk kesalahan orang, empat jari tunjuk kelemahan sendiri, katanya.

Malah, Kok Seong turut mempersoalkan sama ada mereka yang mengaibkan orang lain ini mampu bertutur Bahasa Melayu dengan baik atau sebaliknya.

Jika tidak, individu-individu ini patut lebih malu kerana gagal menuturkan bahasa kebangsaan sendiri dengan baik.

“Saya persoalkan demikian kerana rata-rata orang Melayu gagal menyebut perkataan Khamis, khianat dengan betul. Sebutan kh ada geseran dan bukannya disebut sebagai Kamis atau khianat.

“Kecuali ustaz, kebanyakan rakyat biasa yang gagal menyebut dua perkataan ini dengan betul termasuk pemimpin negara. Ketidakupayaan kecil kita ini patut rasa malu.

“Kegagalan kita ini (menyebut dengan baik) bermakna kita tidak ada jati diri dan tidak mempunyai taat setia pada negara kerana bahasa Melayu terkandung dalam Perlembagaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Promosi kombinasi bahasa Malaysia dan English atau Malish bisa komunikasi dan interaksi lebih efektif macam indon gaes.

Comments are closed.