Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka memerlukan masa hingga tiga bulan untuk membaiki kerosakan kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang di km3.2 yang terbakar semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, perkara itu dimaklumkan oleh TNB semasa menyampaikan taklimat kepada ketua menteri berhubung kejadian kebakaran tersebut, pagi tadi.

“Namun tempoh pembaikan itu bergantung pada tahap kerosakan serta rundingan bersama PLUS kerana usaha tersebut memerlukan penutupan laluan di Jambatan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zairil, kebakaran pada kira-kira 4 petang tersebut menjejaskan kesemua tiga litar di bawah jambatan yang mengakibatkan gangguan bekalan selama 35 saat di beberapa kawasan.

Bagaimanapun katanya kerosakan kabel dan litar terbabit tidak akan menjejaskan bekalan elektrik di negeri tersebut memandangkan masih ada punca bekalan lain.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Azrul Khairi Abu Bakar berkata pihaknya menjalankan operasi pemadaman semula di lokasi kejadian selepas mendapati kebakaran masih berlaku pada 9.17 pagi hari ini.

“Api telah berjaya dipadamkan semalam namun kabel elektrik di lokasi yang sama terbakar semula tetapi kecil sahaja. Kerja pemadaman melibatkan tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Bandar Perda dan Paya Terubong. Operasi turut dibantu oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA)  serta beberapa agensi lain,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian petang semalam, TNB mengesahkan kebakaran di Km3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132 kV daripada Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Pada September 2010, kejadian sama berlaku apabila tiga kabel kuasa di Jambatan Pulau Pinang terbakar, mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan pulau terutamanya di Bayan Lepas. – MalaysiaGazette