Pelancong asing mengunjungi Taman Tugu Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan memperkenalkan pasport vaksin bakal merangsang kembali sektor pelancongan negara dan sektor-sektor berkaitan dengannya.

Dr Ahmed Razman Abdul Latif

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, inisiatif itu juga akan membolehkan pelancong-pelancong antarabangsa terutamanya pelancong kesihatan kembali ke negara ini.

Jelasnya, ini boleh dilakukan dengan melaksanakan gelembung perjalanan dengan negara-negara yang telah menjalankan program imunisasi atau mempunyai kes jangkitan yang rendah seperti Singapura, Australia dan New Zealand.

“Kita tahu bahawa dari sudut perkhidmatan dan hospitaliti tempatan bergantung kepada kedatangan pelancong luar kerana tidak boleh mengharapkan rakyat tempatan untuk melancong atau melawat destinasi dalam negara semata mata.

“Secara keseluruhan pendapatan negara adalah dari kehadiran pelancong luar.

“Secara psikologinya, negara yang telah menjalani program imunisasi Covid-19 kurang berisiko kewujudan gelombang keempat atau kelima dalam penularan jangkitan tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Menurut Ahmed Razman, bagi negara-negara yang masih mencatatkan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi, kerajaan boleh menyarankan individu berkenaan menerima suntikan vaksin terlebih dahulu serta membuktikan tidak mempunyai simptom.

Tambahnya, pembukaan sempadan secara bersasar melalui gelembung perjalanan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selepas program imunisasi mampu membantu pemulihan ekonomi negara dan dalam masa yang sama mengawal jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, Thailand pernah membuka pintu sempadan melalui kaedah visa khas pelancong tinggal lebih lama (STV) kepada pelawat dari semua negara.

Namun bilangan pelancong yang memanfaatkan kemudahan itu adalah rendah kerana pelawat asing perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik tiba dan ia memakan kos yang tinggi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kurangkan kuarantin ke tiga hari jer sama dengan para menteri sebab dah ada vaksin kebal takkan tak boleh, kot?

Comments are closed.