Special Branch defamation suit pontianak false claims

HULU SELANGOR – Seorang pengusaha kolam ikan keli mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan khianat melepaskan bahan buangan ke Sungai Selangor pada Disember tahun lalu.

Tertuduh Tan Kim Hong, 61, membuat pengakuan itu dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mengikut kertas pertuduhan, Kim Hong telah didakwa telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis ternakan ikan keli dilupuskan dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mukim Serendah, Hulu Selangor pada 7 Disember 2020.

Dia dituduh di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah.

Mohd. Asnawi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan tidak boleh dijamin.

Namun setelah mendengar hujah peguam tertuduh, Kim Hong dibenarkan diikat jamin dengan RM400,000 dengan seorang penjamin dengan syarat pasport antarabangsa perlu diserahkan di mahkamah sehingga kes selesai dan menandatangani di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Hakim Nurul Mardhiah juga menetapkan 24 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Kim Hong telah ditahan bersama empat orang pekerjanya oleh polis pada Disember lalu selepas disyaki terlibat dalam kes pencemaran air Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dalam kejadian pada 7 Disember 2020 sehingga menjejaskan bekalan air di 1,274 kawasan di Lembah Klang.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan bersama pekerja kolam ikannya yang berusia antara 28 hingga 47 tahun sekitar jam 9.30 malam di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.-MalaysiaGazette