Ustazah Asma Harun.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun menasihati secara terbuka kepada sebuah akaun kumpulan Facebook supaya tidak menggunakan perkataan riak walaupun untuk tujuan bergurau.

Menerusi perkongsiannya di Facebook hari ini, Asma’ menegur pentadbir kumpulan ‘Riak Apa Hari Ini’ agar menukar nama atau terus menutup kumpulan itu yang disifatkan mengindahkan perbuatan riak.

“Mohon admin group ‘Riak Apa Hari Ini’ boleh tukar tajuk atau tutup terus. Pelbagai kemungkaran dan dosa sedang dihalalkan atas nama gurauan.

“Perbualan bebas bergurau senda lelaki perempuan, dedah aurat sebab nak tunjuk putih melepak dan emas sampai lengan, tunjuk harta dengan kepsyen riak tapi kata gurau dan lain-lain yang sangat aib. Jangan indahkan perkataan keji riak atas nama gurauan,” tulisnya.

Tinjauan di ruang komen juga mendapati teguran Ustazah Asma’ turut disokong oleh rata-rata netizen yang kebanyakannya menggesa supaya akaun tersebut ditutup.

Baru-baru ini, akaun kumpulan Facebook tersebut menjadi tular di laman sosial.

Difahamkan kumpulan tersebut dicipta supaya pelayar Facebook boleh menunjuk-nunjuk kemewahan untuk tujuan bergurau dan menghiburkan semata-mata.

Akaun yang dicipta pada awal bulan Februari itu kini mempunyai lebih 120,000 pengikut. – MalaysiaGazette