Akademia dari Fakulti Seni, Komputeran Dan Industri Kreatif (FSKIK) dan Pusat Pedagogi Fakulti Pembangunan Manusia(FPM) akan membantu golongan guru menampilkan pelbagai kandungan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik.

KUALA LUMPUR – Kemelut mengikuti alam persekolahan yang terkesan akibat penularan Covid-19 di negara ini telah menggusarkan kalangan ibu bapa serta murid.

Sebagai universiti pendidikan tersohor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang menggembleng tenaga pakar membantu menyediakan khidmat nasihat menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR) serta webinar secara berkala buat guru yang memerlukan.

Timbalan Naib Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, UPSI sentiasa cakna dengan perkembangan semasa serta bersedia untuk  membantu para guru mempelbagaikan kaedah dan strategi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang sesuai untuk digunakan secara dalam talian, atau luar talian.

Timbalan Naib Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff

“Akademia dari Fakulti Seni, Komputeran Dan Industri Kreatif (FSKIK) dan Pusat Pedagogi Fakulti Pembangunan Manusia(FPM) akan membantu golongan guru menampilkan pelbagai kandungan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik, sesuai dengan Pedagogi Revolusi Industri 4.0 dalam mendepani fenomena pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Prof. Md Amin, menerusi Sekolah Makmal atau kini lebih dikenali Neoteric Education Initiatives Centre (NiCE) akan menampilkan eksplorasi khidmat nasihat penggunaan teknologi PDPR dan bahan bantu mengajar untuk pengajaran dan pembelajaran segerak dan tidak segerak.

“PdPR adalah pendekatan baharu yang semestinya menuntut kreativiti guru dan murid supaya ia lebih efisyen dan menarik.

“Sehubungan itu, UPSI akan memainkan peranan sewajarnya dalam membantu golongan guru yang memerlukan khidmat bantuan sokongan.

“UPSI terkenal dengan  penyelidikan pendidikan yang sangat membantu dalam membangunkan pelbagai pedagogi untuk kanak-kanak sehingga pelajar sekolah menengah.

“Kami menyambut baik kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri serta sekolah seluruh negara untuk memanfaatkan kepakaran yang dimiliki UPSI,” ujarnya.

Pengarah Pusat Alumni UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril berkata, berdasarkan rekod, UPSI telah menghasilkan ramai alumni yang merupakan guru pakar dalam mata pelajaran yang terkandung dalam kurikulum pendidikan rendah dan menengah.

“Oleh itu, sudah semestinya UPSI merupakan institusi relevan untuk menjadi tempat rujukan dalam mencari inisiatif Pdpr berkesan,” tegasnya.

Bagi mereka yang berhasrat untuk memanfaatkan perkhidmatan NICE- UPSI  boleh menghubungi talian Hotline: 013-3158684 (Dr. Mohd Hafiz, Pengarah), 016-6944036 (Dr. Kama Shaffeei, Timbalan Pengarah) atau emel: [email protected] atau melayari Facebook: https://www.facebook.com/niceupsi. -MalaysiaGazette