Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Sambutan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) terhadap jersi baharu pasukan itu musim ini yang diperkenalkan semalam ibarat pisang goreng panas.

Ini kerana pada hari pertama jualan secara dalam talian atau ‘online’ bermula pukul 11 pagi tadi, jersi skuad Harimau Selatan sudah habis terjual.

JDT dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi kelab iaitu Johor Southern Tigers memaklumkan pihaknya berjaya mencatat jualan sebanyak RM1.6 juta jersi yang diperkenalkan pertama kali semalam.

“Dukacita dimaklumkan bahawa peruntukan untuk jualan atas talian kami di JDT Store di laman web kelab dan Shopee telah habis dijual. Stok jersi-jersi tersebut akan ditambah semula dalam beberapa minggu akan datang.

“Rakan kongsi kami Nike juga akan mula menjual jersi ‘home’ mulai esok tetapi memandangkan sambutan yang begitu luar biasa oleh penyokong JDT, kami menjangkakan jersi-jersi di sana juga akan habis dijual,” kata kenyataan JDT.

Sambutan luar biasa penyokong menerusi pembelian jersi JDT itu dipercayai turut dipengaruhi tindakan pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang menanggung sebahagian kos jualan jersi terbabit.

Menerusi kenyataan kelab itu semalam, harga sebenar jersi di tempat lawan versi pemain adalah RM429 tetapi akan dijual pada harga RM185.

“Sama dengan harga jersi di laman sendiri versi penyokong, Tunku Ismail akan menanggung lebihan kos jualan jersi di tempat lawan yang dijual,” katanya. – MalaysiaGazette