Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah menjalankan kerja-kerja nyahkuman di sekitar kawasan bilik darjah sebagai langkah persediaan menjelang pembukaan semula sekolah pada 1 Mac ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2021.

HULU LANGAT – Sebanyak 16 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini telah disanitasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bermula 20 Februari lalu sehingga hari ini.

Ketua Zon 4 Hulu Langat, Penguasa Kanan Bomba Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, operasi sanitasi yang dijalankan itu melibatkan sepasukan 50 pegawai dan anggota dari Pejabat Bomba Zon 4 Selangor.

Temubual bersama Penguakasa Kanan Bomba 1,Pejabat Zon 4 Hulu Langat, Shahrin Yusmar Mat Yusof di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2020.

Menurutnya, balai yang terlibat terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Pandan Indah, Bangi, Kajang, Semenyih dan Bandar Tun Hussein Onn.

“Sejak pemakluman pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pembukaan sekolah-sekolah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, JBPM menerima beberapa permohonan pelaksanaan sanitasi di sekolah-sekolah rendah dan menengah.

“Proses tersebut bagi memastikan tahap keselamatan pelajar dan guru dalam keadaan yang terbaik ketika sesi persekolahan dan peperiksaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, antara sekolah yang telah disanitasi melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah, SMK Pandan Jaya, SMK Pandan Mewah, SMK Bandar Baru Ampang, SMK Taman Kosas, SMK Dato’ Ahmad Razali, SMK Taman Tasik, SMK Tasek Permai, SMK Taman Seraya, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussein Onn, SK Bandar Tun Hussein Onn 2, SK Taman Jasmin, SK Jalan Bukit Satu, SK (2) Jalan Bukit, SK Semenyih dan SK Pandan Perdana.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah menjalankan kerja-kerja nyahkuman di sekitar kawasan bilik darjah sebagai langkah persediaan menjelang pembukaan semula sekolah pada 1 Mac ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2021.

Shahrin Yusmar berkata, selain daripada pelaksanaan sanitasi awam, JBPM turut bersedia memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada orang ramai serta agensi-agensi kerajaan yang lain untuk melakukan sanitasi awam kendiri. – Malaysia Gazette