PUTRAJAYA – Kumpulan pertama vaksin Sinovac Covid-19 dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia) pada jam 9 pagi hari ini.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, perjalanan vaksin dari kilang Sinovac di Beijing, China dikendalikan oleh Sinovac dan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd menerusi perjanjian global.

Katanya, vaksin sebanyak 200 liter itu akan dibawa dengan pesawat Airbus milik MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo) dan kemudian akan diproses dan dibotolkan kepada lebih 300,000 dos.

Malaysia dijadualkan menerima 14 juta vaksin Sinovac secara berfasa yang akan melindungi 22 peratus daripada jumlah populasi dalam negara.

Antara tetamu yang akan hadir menyaksikan ketibaan vaksin Sinovac ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan Menteri Koordinasi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Turut menyertai mereka adalah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Malaysia memulakan program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 pada Rabu lalu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penerima pertama suntikan vaksin itu.

Pemberian vaksin itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama dari Februari hingga April ini melibatkan kakitangan barisan hadapan diikuti fasa kedua antara April hingga Ogos 2021 membabitkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan kumpulan berisiko tinggi dan fasa ketiga antara Mei hingga Februari 2022 mencakupi rakyat umum yang berusia 18 tahun dan ke atas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. perghhh semua yg bekerja untuk rakyat ni menentang Covid ni ialah menteri UMNO! Yg Bersatu tu cuma tau tumpang nama, buat kereta terbang dan cetak duit? kah kah kah

Comments are closed.