Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Segala kebenaran pergerakan merentas negeri atau daerah bergantung kepada enam penilaian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selepas keenam-enam penilaian itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan, ia bergantung pula kepada keputusan kerajaan.

“Buat masa ini, tindakan kawalan kesihatan awam masih perlu diteruskan di samping memastikan program imunisasi berjalan lancar.

“Oleh itu adalah penting bagi semua pihak (termasuk mereka yang telah menerima vaksin) untuk mematuhi sepenuhnya SOP sehingga imuniti kelompok tercapai,” katanya dalam kenyataan harian yang dibuat Noor Hisham.

Enam penilaian itu adalah berdasarkan kepada situasi semasa kes harian Covid-19; trend dan nilai semasa R-Naught (Rt); trend dan situasi semasa kematian Covid-19; situasi penggunaan katil untuk kes Covid-19 (di PKRC, Hospital, katil ICU dan kes ventilated); situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19; dan aktiviti ujian makmal dan survelan COVID-19 (RT-PCR dan RTK Antigen).

Dr Noor Hisham juga berkata, impak tindakan-tindakan ini akan dinilai dari semasa ke semasa dan akan dibincangkan bersama oleh kerajaan semasa sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semalam, Dr Noor Hisham berkata, kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri akan dipertimbangkan jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid-19.

Malah beliau berkata buat masa ini, KKM belum mempertimbangkan kebenaran merentas daerah dan negeri walaupun program vaksinasi sudah bermula. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semalam, Dr Noor Hisham berkata, kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri akan dipertimbangkan jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid-19.
    Ini bermakna sampai hujung tahun 2022 baru dapat 99% rakyat Malaysia mendapat vaksin sepenuhnya.
    Ini bermakna tidak boleh merentas Negeri atau daerah melainkan Kerajaan Baru ditubuhan selepas PRU15 didalam tahun ini 2021 kalau mereka betul2 berjanji beri kelonggaran..
    Tetapi sekarang ramai rakyat kurang percaya kpd parti2 politik kerana hanya pandai berjanji tetapi gagal tunaikan.

Comments are closed.