Gambar hiasan. Seorang pekerja pembinaan membuat kerja-kerja di tapak pembinaan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) City ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Semua 16 tapak binaan seluruh negara yang diperiksa oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Berdasarkan jumlah terbaharu itu, sehingga kini menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebanyak 8,942 tapak binaan telah diperiksa sejak 20 April 2020.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 432 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 414 dikompaun manakala 18 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (108), tiada penjarakan fizikal (106), tidak memakai pelitup muka (96), cubaan rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (51).

Kesalahan lain termasuk keluar rumah tanpa alasan munasabah (42), aktiviti Perjudian (18), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (10) dan lain-lain (1).

Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Selain itu kata beliau, seramai 27 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditangkap semalam menerusi Operasi BENTENG (Op BENTENG).

Operasi berkenaan turut merampas dua buah bot  serta sebuah kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 38 buah bot/kapal di perairan negara melalui enam operasi penglihatan. Selain itu, seramai 10 orang PATI turut diusir menerusi satu (1) operasi pengusiran,” tambah beliau.-MalaysiaGazette