Kerja-kerja mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus di sebuah resort Banjaran Hot Spring di Tambun dalam kejadian tanah runtuh pada bulan Oktober tahun 2020. Gambar hiasan

SEBELUM ini, saya telah menulis mengenai bahaya bukit batu kapur yang timbul secara semulajadi, khususnya di Negeri Perak. Tulisan saya telah didorong oleh tragedi di Banjaran Hotsprings Retreat yang berlaku pada bulan November 2020, mengorbankan dua pengunjung di salah sebuah vila di situ. Saya bernasib baik kerana ahli keluarga saya telah terdedah kepada Covid-19 yang memaksa kami mebatalkan percutian keluarga di Banjaran Hotsprings, yang sepatutnya berlangsung pada waktu yang sama dengan kejadian tersebut.

Menariknya, surat saya telah mendapat perhatian dari Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan Menteri Besar Perak (“MB”). PEKA dilihat ‘memperjuangkan’ alam sekitar dan ‘keindahan’ Gunung Lanno apabila berkongsi kekecewaan mereka dengan pihak berkuasa kerana tidak ‘menghentikan’ aktiviti kuari dikatakan menjadi penyebab kemusnahan flora dan fauna di kawasan tersebut.

Berdasarkan kenyataan PEKA, MB Perak kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa, walaupun kebanyakan kuari di Perak dimiliki syarikat persendirian, aktiviti kuari dikawal dengan ketat oleh Kerajaan Negeri. Beliau seterusnya menyatakan bahawa industri kuari merupakan penyumbang terbesar ekonomi Negeri Perak.

Saya amat kecewa kerana PEKA dan MB Perak langsung tidak menyentuh isu  penting yang telah diketengahkan dalam surat saya sebelum ini, iaitu bahaya bukit batu kapur yang timbul secara semulajadi dan tidak mudah diramalkan! Pelbagai pakar telah menyatakan dengan jelas bahawa struktur dinding batu kapur mudah dilemahkan dengan sekadar air hujan. Apabila air ini mengalir di celah rekahan permukaan dinding batu kapur, penghakisan secara semulajadi akan berlaku.

Apabila ‘aktiviti kuari’ diketengahkan sebagai penyebab runtuhan bukit batu kapur, bahaya secara ‘semula jadi’ yang sepatutnya diberi penekanan (seperti tragedi di Banjaran Hotsprings Retreat), akhirnya tidak diberi fokus seolah ianya satu perkara yang remeh!

Bagi saya, jika ada kegiatan kuari di sesuatu kawasan, tiada siapa yang sepatutnya dibenarkan masuk dalam perimeter yang ditetapkan. Dalam kes seperti ini, risiko atau bahaya yang wujud sememangnya jelas. Sudah pasti pihak yang mengendalikan kuari tidak akan membenarkan penghuni atau pengunjung masuk atau berada dalam perimeter yang telah ditetapkan, melainkan ada pihak yang menceroboh dan membina struktur bangunan secara tidak sah di dalam kawasn berkenaan.

Sekali lagi, saya ingin menekankan isu utama iaitu – bencana bukit batu kapur yang timbul secara semulajadi dan membawa risiko runtuhan kerana  strukturnya yang tidak stabil. Sebilangan bukit seperti ini terletak di Lembah Kinta Perak dan ada yang berdekatan dengan jalan raya, kawasan perumahan serta pembangunan dan berdekatan dengan kawasan tarikan pelancongan. Terdapat juga struktur yang telah dibina, secara sah atau tidak, di gua atau di kaki bukit ini untuk pelbagai tujuan dan sering mempunyai penghuni.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hampir 20 kes runtuhan batu kapur semulajadi berlaku di sekitar Ipoh sahaja. Ini termasuk kejadian terbaharu yang berlaku di Banjaran Hotsprings. Tragedi terburuk berlaku pada tahun 1973 di Gunung Cheroh, yang mengorbankan 42 orang. Pada tahun 2009, insiden Gua Perak juga menyebabkan kematian dan kecederaan, termasuk kerosakan harta benda. Tidak ada satu pun tragedi yang berlaku ini disebabkan oleh aktiviti kuari – seperti yang dapat dilihat dengan jelas dalam tragedi Banjaran Hotsprings.

Saya benar-benar berharap insiden malang di Banjaran Hotsprings akan membuka mata Kerajaan Negeri Perak untuk memberi lebih perhatian dan mengambil tindakan yang sewajarnya, samada  tidak mengeluarkan permit kepada pembangunan pusat peranginan atau kawasan rekreasi untuk tujuan awam, yang dibina terlalu dekat dengan bukit batu kapur. Dalam kes seperti Banjaran Hotsprings, saya tertanya mengapa kelulusan diberikan sejak awal lagi?

Di Perak, terdapat beberapa tempat di mana kuil, rumah dan struktur lain telah dibina di gua-gua atau di kaki bukit batu kapur. Kenyataan bahawa struktur berkenaan telah dibina secara haram tidak boleh dijadikan alasan. Selagi struktur yang dikatakan haram dibiarkan berada di kawasan berkenaan, Kerajaan harus dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Sudah tiba masanya Kerajaan Perak meneliti pelbagai kajian dan laporan yang menceritakan risiko bencana bukit batu kapur yang timbul secara semulajadi. Jangan sekadar memberi respon apabila isu ‘kemusnahan’ persekitaran dan keperluan menyelamatkan ‘labah-labah’ ditimbulkan, seolah-olah perkara ini lebih penting daripada risiko kepada nyawa. Dalam kebanyakan kes, operasi kuari tidak akan dijalankan di kawasan kediaman awam.

Oleh itu, aktiviti ini tidak sepatutnya mendatangkan risiko kepada nyawa manusia. Dalam senario seperti ini, risikonya cuma akan timbul hanya apabila terdapat pencerobohan dan pembinaan struktur secara haram. Oleh itu, amat penting bagi pihak yang memegang hak ke atas tanah berkenaan mengambil tindakan bagi memastikan tanah berkenaan dikosongkan.

Saya berharap Kerajaan Negeri Perak akan memberi perhatian kepada kandungan surat saya ini – iaitu bahaya semula jadi bukit batu kapur. Janganlah memandang remeh isu merbahaya ini dengan menimbulkan isu kuari atau keluhan tentang ancaman terhadap alam sekitar. Amat menyedihkan apabila perlindungan labah-labah dan flora dan fauna seolah dijadikan perkara yang lebih penting berbanding potensi kehilangan nyawa manusia.
Adam Malek
Kuala Lumpur