Zaquan Adha. Foto Kaki Jersi Dot Com.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar jersi tempatan, Kaki Jersi Sdn. Bhd. (Kaki Jersi) yang menaja dua pasukan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini yakin mencapai sasaran jualan sebanyak RM3 juta pada tahun ini.

Pengasas Bersama Kaki Jersi, Harfat Rusman berkata, keyakinan itu berdasarkan kerjasama dengan dua pasukan iaitu Perak FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC)

Jelas beliau, pihaknya menyasarkan jualan 10,000 jersi Perak dan 6,000 jersi NSFC sepanjang musim Liga Malaysia (Liga M) berlangsung.

“Tahun lalu, jualan syarikat jatuh merudum gara-gara penularan wabak Covid-19 apabila banyak kejohanan tidak dapat dilangsungkan.

“Namun tahun ini, kami menyasarkan jualan RM3 juta menerusi kolaborasi dengan Perak FC dan NSFC,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kaki Jersi, Harfat Rusman (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Kaki Jersi, Nor Akmar menunjukkan jersi rasmi bola sepak Negeri Sembilan semasa temubual bersama Malaysia Gazette di Kaki Jersi Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2021.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di kilang Kaki Jersi di Batu Caves di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas Bersama Nor Akmar Ahmad yang juga Ketua Pegawai Operasi.

Harfat menambah, tajaan ke atas Perak FC dalam Liga Super turut melibatkan pasukan feeder, Perak II selain skuad Presiden dan Belia negeri itu.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkata, NSFC pula yang beraksi dalam Liga Premier ditaja termasuk skuad Presiden dan Belia.

Menurutnya, tajaan melibatkan tiga kit jersi selain kit latihan.

Kaki Jersi yang ditubuhkan bersama oleh Harfat dan Nor Akmar pada 2014 memulakan operasi di sebuah bilik sebelum berpindah ke rumah kedai pada 2016.

Syarikat itu memiliki kilang di Batu Caves pada 2019.

Ketika ini, Kaki Jersi memiliki 31 kakitangan dengan kapasiti pengeluaran jersi mencecah 8,000 hingga 10,000 helai sebulan.

Pada awal penubuhan, syarikat hanya menaja pasukan liga komuniti dan Liga Sosial.

Bagaimanapun Kaki Jersi pernah menaja dua pasukan luar negara di Kemboja dan Indonesia pada 2018 dan 2019.

Jenama jersi buatan Malaysia itu melangkah lebih jauh apabila menaja pasukan Soltilo Angkor FC dalam Liga Kemboja dan Persirap Jepara dalam Liga 2 Indonesia.

Sementara itu, pada awal tahun 2020, Kaki Jersi menjadi antara tujuh rakan penaja rasmi Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2020 akan berlansung pada 14 dan 15 Mac ini. – MalaysiaGazette

Jersi rasmi bola sepak Negeri Sembilan di Kaki Jersi Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2021.