Jersi TFC di halaman sendiri pada musim Liga Malaysia 2021.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) dan pasukan ‘adiknya’, Terengganu FC II (TFC II) akhirnya menceriakan peminat bola negeri itu untuk mendapatkan jersi baharu pasukan kesayangan mereka selepas Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melancarkan jersi dua pasukan itu malam tadi.

Masih mengekalkan warna keramat bendera Terengganu, corak dan reka bentuk jersi skuad berkenaan membabitkan aksi di laman sendiri turut sinonim dengan bendera negeri iaitu hitam putih manakala warna merah hati dipilih membabitkan aksi di stadium lawan.

Warna hitam pula dipilih sebagai jersi ketiga dan paling istimewa yang dinantikan peminat ialah jersi Piala AFC edisi terhad yang bakal dikeluarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dua pasukan bersaudara itu sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Liga Super dan Perdana musim ini.

Jelasnyanya, keyakinan itu berdasarkan persiapan rapi pasukan termasuk pemilihan pemain import baharu dan pemain tempatan adunan pemain muda serta berpengalaman.

Jersi TFC di gelanggang lawan pada musim Liga Malaysia 2021.

“Mengekalkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan dibantu barisan penolong jurulatih serta jurulatih kecergasan daripada Bosnia, Slobodan Klacar, ia dijangka mampu memberi impak lebih baik kepada prestasi dua pasukan itu berbanding musim lalu.

“Hasil perkongsian bersama MFL, ia banyak membantu melancarkan pengurusan untuk menjadi sebuah kelab profesional ke arah kecemerlangan bola sepak Malaysia apatah lagi TFC bakal bersaing dalam kancah Piala AFC musim ini,” katanya ketika merasmikan majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain secara dalam talian.

TFC bakal membuat perhitungan pertama dengan pasukan UiTM, Sabtu ini di Stadium UiTM Shah Alam manakala pasukan ‘adik’ menanti kunjungan pendatang baharu, Skuad Projek FAM-MSN juga pada hari sama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu. – MalaysiaGazette