Alawiyah Talib

MERSING – Penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 di Mersing, Alawiyah Talib menyifatkannya sebagai tanggungjawab pemimpin kerana sering berurusan dengan orang ramai.

Alawiyah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau berkata, apa yang diminta oleh kerajaan adalah demi kebaikan negara yang sedang ‘berperang’ dengan pandemk Covid-19.

“Saya seronok bila jadi orang pertama yang terima suntikan vaksin ini selain untuk membuktikan ianya selamat digunakan.

“Janganlah dengar khabar angin tentang keburukan vaksin ini kerana kerajaan tahu dan berusaha yang terbaik untuk rakyat.

“Penerima vaksin awal bukan sebagai ujikaji untuk yakinkan rakyat sebaliknya kami tak mahu risikokan rakyat kerana kami banyak urusan dengan orang ramai,” katanya.

Alawiyah menerima suntikan vaksin tersebut di Dewan Jubli Intan Mersing pagi tadi.

Turut menerima suntikan vaksin ialah ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan termasuk Pegawai Daerah dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Mersing.

KKM memaklumkan seramai 300 penerima suntikan vaksin bagi fasa pertama yang bermula hari ini bagi seluruh daerah Mersing. – MalaysiaGazette