Syabu bernilai RM22.46 juta merupakan antara rampasan terbesar negara selepas lima tahun.

GEORGE TOWN – ‘Perjalanan’ dua lelaki warga Indonesia dari Kelantan ke Pulau Pinang membawa bekalan dadah bernilai RM22.46 juta gagal di tengah jalan.

Mereka akhirnya berjaya ditahan oleh Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dalam serbuan di Bukit Mertajam pada Khamis lalu.

Kegiatan sindiket dadah antarabangsa yang aktif sejak lapan bulan itu terbongkar selepas Koperal Muhammad Shahilmi Shahadan dan Koperal Simon Pasal Anak Kana melihat sebuah lori tiga tan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kebun Nenas, Bukit Mertajam.

Difahamkan ketika kejadian tiga suspek warga Indonesia itu sedang memunggah dadah berkenaan dari lori ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV.

Razarudin (dua dari kiri) menunjukkan syabu bernilai RM22.46 juta yang dirampas.

Bagaimanapun, dua daripada tiga suspek berkenaan melarikan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu membawa kepada penemuan 495 bungkusan berisi dadah jenis syabu seberat 511.95 kilogram (kg).

Hasil siasatan terhadap suspek berusia 23 tahun itu membawa kepada penemuan 106.91 kg syabu yang disembunyikan di ruang khas bahagian lantai lori berkenaan.

Sebahagian dadah jenis syabu disembunyikan dalam ruang khas bahagian lantai lori berkenaan.

Jelas Razarudin, berpandukan maklumat daripada suspek polis menyerbu sebuah kondominium di kawasan Juru Sentral dan menemui syabu seberat 4.89 kg.

“Ini adalah julung-julung kalinya pihak URB membuat tangkapan dadah. Selain itu, ia juga merupakan rampasan terbesar dalam tempoh lima tahun iaitu membabitkan dadah syabu seberat 623.76 kilogram bernilai RM22.46 juta.

“Susulan tangkapan itu, kita menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 27 hingga 51 tahun yang dipercayai ahli sindiket di sekitar Johor dan Sungai Buloh, Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Menurut Razarudin, hasil siasatan mendapati suspek Indonesia itu memasuki negara sejak Mac tahun lalu dan aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Jun lalu.

“Siasatan lanjut mendapati dadah itu dibawa dari Kelantan dan di transit ke Pulau Pinang untuk pasaran tempatan dan Aceh. Kita tidak menolak kemungkinan dadah untuk pasaran Aceh dibawa melalui jalan laut susulan kawalan ketat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Kesemua lima suspek itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Razarudin menegaskan, pihaknya kini sedang memburu dua lelaki Indonesia yang berjaya meloloskan diri.

Razarudin menunjukkan gambar dua suspek Indonesia yang kini diburu polis.

Menurut beliau, suspek pertama dikenali dengan nama Zulfikar berusia 32 tahun manakala suspek kedua pula, Hafis Fareza berusia 21 tahun dan kedua-duanya warga Indonesia.

“Kita juga bekerjasama dengan polis Indonesia bagi mengesan mereka, namun kita percaya mereka masih berada dalam negara memandangkan pasport mereka ditemui dalam kenderaan yang disita,” ujar Razarudin. – MalaysiaGazette