Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hadir bagi pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Meskipun Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerima  banyak permohonan daripada pelbagai pihak untuk diberi keutamaan suntikan vaksin namun pemberian vaksin fasa pertama ini tetap diutamakan kepada petugas barisan hadapan sahaja.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bagi membincangkan status kemajuan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mempengerusi secara bersama mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu juga telah mendefinisikan dengan lebih jelas takrifan frontliners atau petugas barisan hadapan.

JKJAV berkata, kerajaan tidak akan memberi keutamaan kepada mana-mana individu atau mana-mana pihak yang bukannya dalam kategori barisan hadapan untuk menerima vaksin terlebih dahulu.

”Mesyuarat pada hari ini juga turut bersetuju untuk jawatankuasa kecil di bawah JKJAV mengenal pasti dan memproses permohonan daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan dan NGO untuk menerima vaksinasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari 2021, setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai lebih daripada 1.5 juta telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Sehingga hari ini, tiga bekalan vaksin telah pun sampai iaitu Comirnaty (dari Pfizer-BioNTech) pada 21 dan 24 Februari 2021.

Vaksin Pfizer-BioNTech mula digunakan semasa pelancaran Program Imunisasi COVID-19 dengan Perdana Menteri menjadi orang pertama menerima suntikan diikuti dengan barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan, anggota keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas penjara dan anggota bomba dan penyelamat yang turut menerima suntikan.

Sementara itu, vaksin CoronoVac (dari SinoVac) sampai di Malaysia pada 27 Februari 2021, akan melibatkan pemindahan teknologi daripada Sinovac kepada Pharmaniaga.

Vaksin CoronoVac yang diperolehi dalam bentuk pukal ini masih tertakluk kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency – NPRA). Vaksin ini masih dalam peringkat pembotolan secara fill and finish oleh syarikat tempatan bagi kegunaan rakyat Malaysia.

Mesyuarat JKJAV juga bersetuju bahawa tiada diskriminasi pemilihan jenis vaksin kepada rakyat dengan pelaksanaan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan untuk Fasa 1.

Jelasnya, Rangka Kerja Penilaian Risiko untuk Fasa 2 dan 3 turut dibincangkan agar isu penggiliran penerimaan vaksin dijalankan secara telus dan adil kepada rakyat. – MalaysiaGazette