Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia Football League (MFL) mengumumkan pindaan jadual Liga Premier 2021 susulan permohonan pertukaran venue oleh Sarawak United FC dan Kuching City FC telah diluluskan menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, Sarawak United FC yang sebelum ini mendaftarkan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai venue tuan rumah telah memohon untuk bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka dan telah dipersetujui oleh Melaka United FC dan Perbadanan Stadium Melaka.

Oleh demikian, MFL telah meminda perlawanan Liga Premier 2021 bilangan 2 melibatkan Sarawak United FC menentang Kelantan United FC pada Sabtu, 6 Mac 2021 kepada Ahad, 7 Mac 2021 di Stadium Hang Jebat, jam 9 malam.

Pindaan ini dibuat kerana pada tarikh tersebut Stadium Hang Jebat digunakan bagi perlawanan Liga Super 2021 bilangan 5 di antara Melaka United FC melawan Sabah FC jam 9 malam.

Pindaan seterusnya melibatkan perlawanan Liga Premier bilangan 8 di antara Perak FC II melawan Sarawak United FC yang sepatutnya dimainkan pada Selasa 9 Mac 2021 dipinda pada Rabu 10 Mac 2021.

Pindaan ini dibuat kerana tempoh waktu rehat antara perlawanan bagi Sarawak United FC berkurangan akibat pindaan perlawanan bilangan 2.

Aksi Sarawak United FC menentang Terengganu FC II bagi perlawanan Liga Premier 2021 bilangan 22 yang sepatutnya dimainkan pada Sabtu, 20 Mac 2021 dipinda pada Ahad, 21 Mac 2021 jam 9 malam.

Perubahan ini dibuat kerana pada tarikh tersebut Stadium Hang Jebat digunakan bagi perlawanan Liga Super 2021 bilangan 27 di antara Melaka United FC melawan Kuala Lumpur United FC.

Dalam pada itu, perlawanan melibatkan Kuching City FC juga turut dipinda susulan pertukaran venue kelab Liga Premier itu.

Berikutan peningkatan kes wabak COVID-19 di Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri telah mengetatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap mana-mana individu yang memasuki negeri tersebut hendaklah dikuarantin selama 14 hari. Pelaksanaan SOP ini berkuatkuasa sehingga 31 Mac 2021.

Sehubungan dengan itu, Kuching City FC telah memohon supaya dua perlawanan pertama dimainkan di venue tempat lawan selaku pasukan pelawat. Ahli Lembaga Pengarah MFL dan pasukan-pasukan yang terlibat telah bersetuju untuk meluluskan permohonan Kuching City FC.

Kuching City FC turut memohon supaya Stadium Likas, Kota Kinabalu sebagai venue tuan rumah pasukan bagi baki perlawanan seterusnya.

Pertukaran venue Kuching City FC ini menyaksikan perlawanan Liga Premier 2021 bilangan 7 membabitkan Terengganu FC II dengan Kuching City FC yang sepatutnya dimainkan pada hari Selasa, 9 Mac 2021 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dipinda pada Rabu 10 Mac 2021 jam 9 malam.

Pindaan ini dibuat kerana pada tarikh tersebut perlawanan Liga Super melibatkan Terengganu FC melawan pasukan Selangor FC berlangsung.

Kuching City FC yang pada asalnya akan beraksi di gelanggang sendiri bagi perlawanan Liga Premier 2021 bilangan 17 pada Selasa 16 Mac 2021 akan bertandang ke Stadium Hang Jebat, menentang Sarawak United FC jam 9 malam.

Sementara itu, perlawanan Liga Premier 2021 bilangan 42 yang sepatutnya dimainkan pada Sabtu, 17 April 2021 di antara Kuching City FC dengan Selangor FC 2 dipinda pada Ahad 18 April 2021 di Stadium Likas, Kota Kinabalu jam 9.15 malam.

Pindaan ini dibuat kerana pada tarikh tersebut perlawanan Liga Super melibatkan pasukan Sabah FC melawan pasukan UiTM FC berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette