Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan pendaftaran secara bersyarat tiga vaksin Covid-19 untuk kegunaan ketika pandemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga vaksin itu ialah ‘Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’ dari pengilang Medimmune Pharma B V Netherland, ‘CoronaVac Suspension for Injection’ atau Sinovac dan ‘COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection’ iaitu pemegang pendaftaran oleh Pfizer.

Menurutnya, pendaftaran secara bersyarat itu memerlukan syarikat pemegang pendaftaran untuk mengemukakan analisis data tambahan dan terkini bagi dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Ia bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin berkenaan kekal positif.

“Pada masa ini, NPRA juga masih menilai dua lagi produk vaksin COVID-19 iaitu Gam-COVID-Vac atau Sputnik V (keluaran Gamaleya National Research Centre for Epidemiology and Microbiology, Russia) dan CoronaVac Suspension for Injection – Sinovac,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19, di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang sudah dinilai daripada pelbagai aspek antaranya kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA serta diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras sasaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast