KUALA LUMPUR – Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob memohon maaf sekiranya video memaparkan dia sedang mengurut usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) bagi membantu memulihkan kesihatan mengundang rasa kurang senang ramai.
Mengakui kesilapan itu, Fazley, 48, berkata, dia tidak mempunyai niat lain memuat naik konten yang dianggap kurang manis di mata segelintir pihak selain hanya mahu berkongsi momen bersama Vida, 55.
“Terima kasih mendoakan DSV, Alhamdulillah dia dah pulih dan dalam keadaan baik-baik saja.
“Tentang paparan yang kurang sesuai untuk tatapan umum itu, mohon maaf bagi pihak pasukan konten kami.
“Tidak ada niat untuk menyinggung mana-mana pihak atau timbulkan spekulasi distruktif,” katanya dalam platform Threads di sini.
Fazley yang juga cef selebriti berkata, dia dan pasukannya akan lebih meneliti dan menapis setiap kandungan sebelum dimuat naik dalam media sosial bagi mengelak kecaman ramai.
“Keterujaan pasukan kami untuk berkongsi momen-momen tertentu akan diperhalusi pada masa akan datang.
“Saya sebagai ‘bakal Imam DSV’ akan usahakan agar semuanya lebih mencerminkan contoh yang baik.
“Terima kasih dan doakan kami! Cuma bahagian DSV gelak, tidak boleh tolong sebab saya suka!” ujarnya.
















