Anggota bomba menggunakan alat khas membuka pintu kereta bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang terperangkap di dalamnya.

GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak perempuan teperangkap dalam kereta selepas ditinggalkan ibu bapanya dalam satu kejadian di Lintang Mayang Pasir, Bayan Baru di sini hari ini.

Ketua Operasi Mustakin Mohd Salleh dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadia itu pada jam 12.54 tengah hari.

Anggota bomba menggunakan alat khas membuka pintu kereta bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang terperangkap di dalamnya.

Katanya, kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta sementara ibu bapanya mengambil seorang lagi anak mereka di taska berhampiran.

“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu sedang leka bermain di dalam kereta Honda City sebelum kenderaan tersebut terkunci secara automatik.

“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta dan kanak-kanak itu berjaya diselamatkan tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini. – MalaysiaGazette