Foto Ihsan MFL.

KUALA LUMPUR – Biarpun dilanda ketidakpastian sebelum ini mengenai status penyertaan Liga Malaysia sebelum membuat pengesahan rasmi untuk beraksi pada minggu lalu, Perak FC II kekal bersemangat bagi saingan Liga Premier 2021.

Di bawah sentuhan pengendali, Syamsul Mohd Saad yang pernah melatih skuad Perak pada 2015 dan 2016, Perak II akan memperlihatkan banyak perbezaan berbanding musim lalu.

Tanpa pemain import dan pemain tempatan berpengalaman, skuad kali ini akan menggunakan 100 peratus pemain yang terdiri daripada produk Piala Presiden Perak.

Jelas Syamsul, beliau mengakui tugasan kali ini agak mencabar namun menegaskan pemainnya masih berada di tahap moral terbaik bagi menghadapi cabaran Liga Premier.

“Pasukan ini hanya berlatih pada seminggu lalu tetapi saya akan cuba terbaik untuk pastikan skuad ini mampu bersedia sepenuhnya sebelum perlawanan pertama.

“Saya harap pemain-pemain muda dalam pasukan ini mampu beri saingan dan jangan gentar dengan pasukan lain yang mungkin punyai barisan pemain berpengalaman serta kehadiran import.

“Seperti mana hasrat pasukan reserve lain, Perak II mahu menjadi platform kepada bakat-bakat muda Perak khususnya bagi menunjukkan bakat serta mendapatkan pengalaman serta diserap ke pasukan utama.

“Walaupun tiada sasaran khusus, saya mahu cuba perbaiki kedudukan terakhir musim lalu dan dapatkan posisi yang boleh dibanggakan,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Dua pemain yang dijangka menjadi watak utama buat Perak II buat musim ini ialah penyerang, Syahir Bashah dan pemain tengah, Muhd Izzuddin Mohd Roslan.

Perak II musim lalu sekadar meraih mendapat satu kemenangan dan lima keputusan seri, meraih lapan mata daripada 11 perlawanan.

Aksi sulung Perak II ialah berdepan Kelantan FC pada 6 Mac di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pukul 4.45 petang. – MalaysiaGazette