Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ia susulan tindakan Mohd Shafie dengan sengaja dan berniat jahat telah memfitnah Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Shafie membuat dakwaan kononnya Kerajaan GRS telah menawarkan imbuhan wang jutaan ringgit untuk membeli wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bertindak keluar parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohd Shafie mendakwa Hassan A Gani Pg Amir akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dalam masa terdekat.

Ini bagi membolehkan kerusi DUN Sebatik yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dipertimbang untuk dikosongkan.

Ia susulan bukti video Hassan berikrar dan menandatangani surat itu sebelum menjadi wakil rakyat pada PRN Sabah.

Kandungan ikrar itu menyebut jika Hassan mengkhianati Warisan dengan menyertai parti politik lain atau meninggalkan parti sebagai ADUN Bebas, beliau akan meletak jawatan sebagai ADUN.

Mohd Shafie juga mendakwa, salinan surat itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Presiden Warisan itu cuba mewujudkan sangkaan buruk ke atas kerajaan GRS kerana membuat tuduhan tentang wujudnya tawaran imbuhan wang ringgit kepada wakil-wakil rakyat Warisan.

“Dalam masa sama Shafie tidak sertakan bukti kukuh dan sah sama ada dalam bentuk dokumentasi, rakaman perbualan, video ataupun mesej telefon,” katanya.

Zulkarnain juga mencabar Mohd Shafie membuktikan bahawa beliau tidak berbohong dengan menunjukkan bukti bagi menyokong kenyataan mengenai tawaran wang jutaan ringgit tersebut.

“Ini bukan kali pertama Shafie membuat tuduhan fitnah jahat berupa tawaran wang ringgit ke atas wakil rakyat Warisan.

“Tuduhan Shafie itu tanpa melaporkan terlebih dahulu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga secara jelas telah melanggar Akta SPRM 2009.

“Justeru satu laporan polis akan dibuat bagi meminta pihak polis mendakwa Shafie kerana telah mengeluarkan kenyataan fitnah,” katanya.

Beliau juga meminta SPRM mendakwa Mohd Shafie kerana dengan sengaja tidak melaporkan aktiviti sogokan membabitkan pembelian wakil rakyat Warisan.

“Kenapa perlu takut dan khuatir untuk melaporkan tawaran pembelian wakil rakyat kepada pihak SPRM melainkan Shafie sebenarnya hanya berbohong.

“Kami cukup yakin tindakan Shafie itu hanyalah sebagai taktik bagi menghalang lebih ramai wakil rakyat Warisan keluar parti bagi menyokong kerajaan GRS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette