Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Berbaki kurang dua minggu lagi sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia 2021, Perak FC telah mengumumkan penamatan kontrak ketua jurulatih, Mehmet Durakovic berkuat kuasa 19 Februari lalu.

Pengumuman tersebut semestinya mengejutkan kerana ia satu keputusan yang cukup berat dibuat oleh Durakovic namun atas urusan keluarga, beliau terpaksa memilih untuk kembali ke Australia dan meninggalkan Perak FC.

Untuk itu, Chong Yee Fatt telah dilantik sebagai pengendali baharu selepas mengambil kira saranan Durakovic sendiri untuk menggantikan posisi beliau pada musim ini.

Bercakap mengenai persediaan pasukan, Yee Fatt mengakui ia satu tugas yang cukup berat apatah lagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh seorang jurulatih yang cukup dihormati atas rekod kejayaan beliau ketika di Selangor seterusnya ke Perak bermula musim 2017.

Namun, bekas Pengarah Teknikal Kuala Lumpur United FC ini positif beliau dan pasukan dapat mengharungi cabaran ini dengan baik bagi memulakan saingan Liga Super dengan cemerlang meskipun baru beberapa hari bersama pemain dalam latihan.

Bagi musim ini, Perak FC dilihat mengekalkan sebilangan besar pemain daripada musim 2020 dan telah membawa masuk beberapa pemain baharu seperti Danish Haziq Saipul Hisham, Azri Ab Ghani dan Shakir Hamzah.

Shakir yang merupakan pemain pertahanan kebangsaan Singapura dan telah beraksi bersama Kedah selama dua musim sejak 2019 sehingga 2020 dijangka dapat mengukuhkan lagi benteng Perak untuk mencipta gandingan mantap bersama Pertahanan Terbaik 2019, Shahrul Saad.

Menurut Yee Fatt, Shakir boleh dianggap sebagai ayam tambatan dalam pasukan dan pengalamannya bersama skuad hebat seperti Kedah selama dua musim sehingga berjaya memenangi Piala FA 2019 selain membantu pasukan meraih slot Piala AFC 2021 pasti akan memberi kelebihan buat Perak FC musim ini.

“Kita tahu bagaimana prestasi Shakir ketika bersama Kedah sebelum ini dan secara peribadi, saya memang merasakan dia adalah pemain yang berpotensi besar.

“Dia juga merupakan pemain yang boleh diharap di atas padang dan bijak untuk membaca perlawanan dengan baik di mana perkara seperti ini cukup membantu rakan sepasukan lain.

“Apa yang pasti, saya akan cuba yang terbaik untuk membawa pasukan ini ke tahap yang optimum dan kami semua harap kami tidak akan kecewakan penyokong, pihak pengurusan termasuklah Mehmet yang semestinya ingin lihat kami berjaya.

“Saya yakin walaupun saya baru sahaja membimbing skuad ini, pemain-pemain sudah tahu tugas masing-masing dan dapat bersedia sepenuhnya untuk memulakan aksi,” katanya.

Meskipun sebilangan besar pemain kekal dalam skuad ini, tetapi ada beberapa pemain yang telah berhijrah ke pasukan lain musim ini termasuklah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2020, Shahrel Fikri Fauzi yang kini bersama Selangor FC dan Ahmad Khairil Anuar yang beraksi bersama PJ City FC.

Perak FC bakal berdepan skuad PJ City FC di Stadium Perak, Ipoh dalam aksi Liga Super 2021 pada 7 Mac depan. – MalaysiaGazette