GEORGE TOWN – “Sudah semestinya sedih tetapi kami reda dengan kejadian yang menimpa Sophia Fatehah,”.

Itu kata bapa mangsa lemas dalam besen di rumah pengasuh di Batu Maung di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejadian menimpa anak bongsunya, Wan Farhan Danial Wan Azmi,26, berkata, dia menerima panggilan daripada pengasuh berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari semalam yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri akibat lemas di dalam bilik air.

Jelas Wan Farhan Danial, susulan itu pengasuh berkenaan membawa anak perempuannya yang berusia dua tahun ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.

“Ketika kejadian saya berada di hospital untuk mendapatkan laporan perubatan saya sebelum bergegas ke wad yang menempatkan Sophia Fatehah.

“Pengasuh mendakwa dia memandikan Sophia Fatehah sebelum ditinggalkan di dalam besen untuk mengambil tuala namun sebaik kembali semula dia dapati anak saya itu sudah tidak sedarkan diri.

Gambar mangsa, Sophia Fatehah Wan Farhan Danial yang dipercayai mati lemas di dalam besen di rumah pengasuhnya di Batu Maung.

“Mereka (pengasuh) cuba berikan bantuan awal sebelum membawa dia ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang hari ini.

Menurutnya lagi, sebelum itu, anaknya itu baru pulang ke rumah selepas seminggu berada di hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit dihidapnya.

“Semalam baru saja jumpa Sophia Fatehah dan tidak sangka kami dikejutkan dengan berita kematian pula hari ini. Apa pun, kami sekeluarga reda dengan kejadian ini.

“Nak kata saya salahkan pengasuh tidak sebab dah lama kami kenal wanita itu. Dia individu yang menjaga Sophia Fatehah sejak lahir manakala anak sulung saya yang berusia enam tahun juga dalam penjagaannya sejak berusia enam bulan,” ujar Wan Farhan Danial.

Wan Farhan Danial serta keluarganya menunggu proses bedah siasat anak bongsu mereka di Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, sumber MalaysiaGazette memberitahu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang doktor di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang.

“Hasil siasatan mendapati pengasuh tinggalkan mangsa  dalam besen berisi air untuk mengambil tuala sebelum menemui kanak-kanak itu dalam keadaan telangkup.

“Susulan itu, mangsa menerima rawatan di Wad Pediatrik Hospital Pulau Pinang sebelum disahkan meninggal dunia jam 2 pagi tadi.

“Pengasuh berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan,” katanya.

Pengasuh Sophia Fatehah ditahan di Jabatan Forensik Hopsital Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, AA Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak mati lemas dalam besen di rumah pengasuh