forfeiture suit UMNO MCA Najib Razak 1MDB scandal Court of Appeal appeals Palace of Justice
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa denda RM500,000 ke atas Mkini Dotcom Sdn Bhd, yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, selepas didapati bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca adalah wajar demi kepentingan awam.

Dalam alasan penuh penghakiman keputusan majoriti mahkamah, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel tujuh hakim berkata hukuman itu akan menghalang orang lain melakukan jenayah tersebut.

“Ia dapat menghalang orang lain daripada godaan untuk melakukan jenayah itu … atau ia dapat menghalang penjenayah yang sama daripada mengulanginya.

“Mahkamah sentiasa mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memutuskan sama ada mahu bersikap lembut atau keras bukan hanya dalam setiap kes jenayah tetapi juga terhadap setiap penjenayah,” katanya dalam alasan penghakiman setebal 76 muka surat yang dimuat naik di laman sesawang badan kehakiman hari ini.

Beliau berkata kesalahan menghina mahkamah dalam kes Mkini Dotcom, yang membabitkan dakwaan rasuah tidak berasas, adalah lebih berat berbanding kes lain yang menjadi rujukannya dalam alasan penghakiman itu termasuk kes peguam VK Lingam, yang dihukum penjara enam bulan.

Rohana berkata bahasa yang digunakan serta dakwaan yang dilemparkan adalah di luar batas kesopanan dengan menyasarkan badan kehakiman secara keseluruhan dan tuduhan liar bahawa Ketua Hakim seorang yang korup.

Beliau berkata komen itu, yang dipermudah oleh Mkini Dotcom untuk penerbitan, telah mencemarkan nama baik badan kehakiman secara keseluruhan dan mengganggu pentadbiran keadilan, menjejaskan keyakinan awam, menyinggung maruah, integriti dan sikap tidak memihak badan kehakiman.

“Selepas mempertimbang faktor-faktor mitigasi yang dikemukakan responden (Mkini Dotcom dan Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan) terhadap keseriusan kesalahan yang dilakukan, adalah wajar hukuman tidak boleh terlalu ringan.

“Kepentingan awam menuntut agar hukuman berat dikenakan ke atas responden pertama (Mkini Dotcom). Oleh itu, kami memutuskan bahawa denda sebanyak RM500,000 adalah wajar,” katanya.

Pada 19 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Bagaimanapun, mahkamah tidak berpuas hati kes dibuktikan melangkaui keraguan yang munasabah terhadap Gan, justeru berpendapat lelaki itu tidak bersalah menghina mahkamah.

Mahkamah memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin.

Keputusan Mkini Dotcom bersalah menghina mahkamah dicapai menerusi majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang, diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf.

Keputusan majoriti dibuat oleh Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, yang menentang, memutuskan bahawa Mkini Dotcom dan Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

Penghakiman minoriti setebal 67 muka surat oleh Nallini turut dimuat naik di laman sesawang badan kehakiman.

Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel yang diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Pada 17 Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan.

Pada 2 Julai tahun lalu, Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, dan Gan gagal membatalkan kebenaran yang diperoleh Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

— BERNAMA