logo mahlamah

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu untuk menuntut subsidi upah pada April tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail turut mengarahkan, Eyo Ah Lai, 64, menjalani hukuman penjara selama enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, Ahmad Kamal Arifin turut memerintahkan agar wang tunai sebanyak RM9,600 daripada keseluruhan RM17,380.50 yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes ini, dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan manakala bakinya sebanyak RM7,780.50 diserahkan kepada pekerja yang layak.

Dalam pertuduhan pertama, Eyo didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu lampiran senarai empat nama pekerjanya untuk menuntut pembayaran berjumlah RM4,800 menerusi Program Subsidi Upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Kim Yoe Timber Trading Sdn Bhd, Batu 53 1/4 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Simpang Renggam, dekat Kluang, pada 12 April 2020.

Bagi pertuduhan kedua pula, Eyo didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan dua nama pekerjanya dengan nilai tuntutan pembayaran subsidi sebanyak RM4,800 di tempat sama pada 23 April 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam tertuduh, T Vijaya Sandran memohon anak guamnya diberi hukuman ringan kerana masih perlu menanggung tujuh anak, menghidap penyakit jantung selain kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya di samping sudah mengaku insaf.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi memohon mahkamah supaya menjatuhi hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum.

Pertuduhan asal pertama dan kedua ke atas Eyo adalah di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir “matan” yang silap atau palsu atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi. – Bernama