Kaki Jersi merupakan rakat kit rasmi Perak FC musim ini.

KUALA LUMPUR – Impian peminat setia Perak FC untuk mendapatkan jersi baharu pasukan kesayangan mereka bagi saingan musim ini menjadi kenyataan selepas ia dilancarkan Perak FC Sdn. Bhd. hari ini.

Pelancaran secara maya itu disempurnakan bersama Perak FC dan Kaki Jersi yang merupakan rakan kit rasmi.

Berkonsepkan warna keramat bendera Perak, corak dan reka bentuk jersi skuad berkenaan membabitkan aksi di tempat sendiri seperti biasa sinonim dengan bendera negeri iaitu kuning hitam manakala warna putih hitam dipilih membabitkan aksi di tempat lawan.

“Introducing our new 2021 home and away kit, The Sacred Yellow and The Pristine White (Memperkenalkan kit baharu 2021 kami bagi aksi di tempat sendiri dan laman lawan, kuning suci dan putih murni),” demikian keterangan hantaran video di Facebook Perak FC.

Pada bahagian kanan jersi tertera logo Kaki Jersi selaku rakan kit rasmi manakala logo baharu Perak FC ciptaan Hafiz Ismail dari Kuala Kangsar menghiasi sebelah kiri.

Jersi ini akan dijual pada harga RM39 sehelai untuk kanak-kanak dan RM99 hingga RM105 untuk dewasa.

Perak FC akan memulakan kempen Liga Super Malaysia musim ini menentang PJ City di Stadium Perak di sini, pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette