Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 pangsapuri masih belum menyertai Program Migrasi Air Selangor untuk menukar meter pukal kepada individu.

Pembantu Naib Presiden II Seksyen Migrasi Air Selangor, R. Krishnamoorthi berkata, program yang diwajibkan sejak tahun 2014 membabitkan pangsapuri kos rendah, kondominium dan kuarters kerajaan.

Pemilik yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga RM10,000 mengikut Akta Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014, katanya.

Tambah Krishnamoorthi, hanya 1,000  kediaman bertingkat sahaja yang telah menyertai program migrasi sejak tahun 2008.

“Penukaran meter individu membolehkan pengguna menikmati tarif air lebih rendah mengikut penggunaan iaitu 57 sen bagi setiap meter padu.

“Caj tersebut untuk penggunaan dari kosong hingga 20 meter padu, manakala RM1.03 bagi 20 hingga 35 meter padu dan selebihnya dicaj RM2,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, menurut Krishnamoorthi, tarif air untuk penggunaan meter pukal ialah RM1.38 satu meter padu bagi kondominium, pangsapuri kos rendah sebanyak 80 sen dan kuarters kerajaan adalah sebanyak RM1. – MalaysiaGazette