Logo JAIS

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan empat individu terdiri daripada dua lelaki dan wanita disyaki terlibat menyanggahi ketetapan hukum syarak.

Jabatan agama negeri itu juga menyita beberapa bahan bukti dari premis dan individu terlibat di sekitar Hulu Langat malam tadi, kata Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Menurutnya, keempat-empat mereka yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995.

Menurutnya, kes terhadap mereka telah disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam,hari ini.

“Mahkamah telah menetapkan jaminan bagi seorang tertuduh lelaki adalah dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 41 dan RM1,000, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, dua minggu sekali.

“Manakala bagi dua orang tertuduh wanita, mahkamah telah menetapkan jaminan bagi setiap tertuduh iaitu seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 48 dan RM3,000, passport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dua minggu sekali,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi suspek lelaki telah dilepaskan dengan Bon Jamin Penguatkuasa.

Mohd Shahrizan berkata, sebutan semula kes telah ditetapkan oleh mahkamah pada 28 Julai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

“Dengan tertangkapnya empat orang suspek ini, JAIS dijangka dapat menyelesaikan kes melibatkan perbuatan beberapa individu di dalam negeri Selangor, disyaki menyanggahi ketetapan hukum syarak atau fatwa, penghinaan kepada al-Quran dan hadis serta mempersenda, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya.

Walaupun JAIS tidak menyatakan nama dan kumpulan mana yang diambil tindakan namun ramai mengaitkannya dengan dakwaan Ajaran Melayu yang salah seorang pengikutnya dikenali IbuYati.- MalaysiaGazette