Riku Hashimoto.

KUALA LUMPUR – Seorang pemain kacukan Bangladesh-Jepun tampil melakukan debut dalam perlawanan saingan J2 League di antara Tokyo Verdy bertemu Ehime FC yang  mencuri tumpuan banyak peminat saingan bola sepak negara matahari terbit itu.

Riku Hashimoto, baru mencecah usia 15 tahun 10 bulan 26 hari pada 28 Febuari lalu  telah muncul selaku pemain ketiga paling muda dalam sejarah J.League sejak dimulakan pada tahun 1993.

Dia kini berada di belakang dua pemain yang memiliki nama besar iaitu Takefusa Kubo dan Takayuki Morimoto.

Apa yang lebih menarik, kelab Tokyo Verdy juga merupakan pemenang Anugerah Pembangunan Bakat Muda Terbaik tahun 2020 dan itu adalah kali ketiga mereka diberikan anugerah tersebut.

Berdasarkan maklumat terkini, Riku  pernah hadir dalam program elit U14 JFA, calon skuad Jepun U15 dan sekarang bersama skuad Jepun U16.

Lima pemain dari akademi U18 2020 kini berada dalam skuad utama Tokyo Verdy menjadikan keseluruhannya seramai 11 orang dari 30 orang pemain skuad utama kelab itu adalah bekas pemain akademi mereka sendiri. – MalaysiaGazette