Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam sebuah van selepas dihempap sebahagian struktur pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan perancah besi dalam pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh, di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, pemandu itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pemandu treler berusia 40 tahun dan berasal dari Perak itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut,” katanya.

Menurutnya, dua penumpang van yang maut dalam kejadian itu disahkan sebagai Nurina Edwin Abdullah, 47, yang berasal dari Kampung Baru Sungai Chedong. 26500 Maran Pahang dan Norhayati Abdullah, 42, dari Kampung Jerang Belanga. Bagan Terap 45300 Sungai Besar. Selangor.

Kedua-dua mangsa yang merupakan pekerja di kilang Sensata Technologies di USJ maut di tempat kejadian.

Manakala pemandu van kilang. Muhd Fairus Mohd Yusof (47) berasal dari Batu 8 Gombak mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan pendarahan dalaman.

Seorang lagi penumpang van, Zakiyyah Yakop, 51, dari PPR Jalan Jelatek Datok Keramat cedera di betis sebelah kiri dan masih menerima rawatan.

Zulkefly berkata, kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, tragedi berlaku pada jam 6 petang itu melibatkan sebuah treler jenis Volvo warna oren yang melanggar kerangka besi di kawasan pembinaan.

Akibat perlanggaran itu, rusuk keluli bersama dengan perancah besi telah jatuh di kedua-dua laluan utama dan menyebabkan sebuah van jenis Toyota Hiace warna biru terhempap di bawah rusuk keluli laluan dari Ampang ke arah Terminal Bersepadu Selatan (TBS). – MalaysiaGazette

Dua maut, tiga cedera dihempap runtuhan struktur binaan lebuh raya SUKE