Kereta-kereta yang dirampas hasil kejayaan menumpaskan sindiket Geng Zul di Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 05 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Penemuan sebuah kereta jenis Honda TC-P dengan nombor casis telah diubahsuai gara-gara pemiliknya gagal melunaskan ansuran bulanan membawa polis kepada kejayaan menumpaskan sindiket Geng Zul yang menjual kenderaan klon.

Kereta tersebut dijual di sebuah premis menjual kenderaan terpakai di Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, hasil siasatan selama sebulan akhirnya membawa kepada beberapa siri serbuan dan rampasan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah KL di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.

Katanya, enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 42 tahun ditahan manakala 19 buah kereta pelbagai jenama termasuk Vellfire, Mini Cooper, Audi dan BMW disyaki telah diubahsuai nombor casis yang nilainya berjumlah RM3.5 juta turut dirampas.

Menurut Saiful Azly, modus operandi sindiket klon kereta itu tertumpu kepada kereta yang ‘lari’ daripada pinjaman di negara jiran di selatan tanah air sebelum memadam nombor casis dan menggantikan dengan yang baharu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Sindiket itu juga menyediakan geran baharu berdasarkan butiran kereta ‘total lost’ yang diperoleh daripada rakan sejenayah  atau melalui laman web.

Geran baharu menyerupai geran asal itu dihasilkan oleh seorang ahli sindiket yang berkepakaran mereka geran tulen dan tiada penglibatan pihak dalaman agensi berkuasa.

Menurutnya lagi, pemeriksaan jabatan kimia dan forensik polis di Cheras mengesahkan sebanyak 16 daripada 19 buah kenderaan yang dirampas polis mempunyai kesan ubahsuai pada nombor casisnya.

Katanya, sembilan yang diubahsuai nombor casis itu mempunyai rekod hilang oleh pemilik asal.

“Sindiket Zul ini bergerak dalam tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama mencari kenderaan musnah diikuti kumpulan kedua menguruskan pengubahsuaian casis dan penyediaan geran kenderaan total loss dan akhirnya kumpulan ketiga mencari pembeli kenderaan yang berjaya diklon itu.

Sebahagian daripada kereta yang dirampas . Foto SHAFIY ZUL, 05 MAC 2021.

“Harga minimum setiap kenderaan antara RM100,000 hingga RM120,000 bergantung kepada jenama dan boleh mencecah keuntungan sehingga RM600,000 sebulan berdasarkan kuantiti yang dijual. Transaksi hanya secara tunai dan sindiket ini aktif sejak 2019 lagi.

“Namun hasil kerjasama tuan punya kenderaan serta pembeli kenderaan klon selain premis kereta terpakai membantu polis menangkap sindiket itu.

“Dengan tertangkapnya ahli ahli geng ini, polis berjaya menyelesaikan kes kenderaan klon di negeri-negeri tersebut sementara polis turut menyiasat rangkaian sindiket itu sama ada wujud subahat pihak insurans serta pihak tarik kereta musnah akibat kemalangan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, dua daripada enam suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor di bawah Seksyen 411, dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan pada 28 Februari dan 1 Mac lalu, manakala selebihnya dijamin polis.

Beberapa saksi masih dikesan untuk membantu siasatan kes ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 413 Kanun Keseksaan kerana berniaga harta curi yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda.

“Tindakan turut dikenakan di bawah Seksyen 108(3) Akta Pegangkutan Jalan 1987 kerana pernyataan palsu pada kenderaan motor dan boleh didenda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette