KUALA LUMPUR – Pas berpendirian bahawa Perikatan Nasional (PN) perlu dipertahankan dan Muafakat Nasional juga perlu diperkasakan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, parti iti menolak usaha untuk memecah-belahkan hubungan di antara parti terbabit.

Malah Pas turut menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ yang melibatkan Pakatan Harapan atau sekutunya.

“Memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara, Pas mengambil ketetapan seperti meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama,” katanya menerusi kenyataan susulan perkembangan terkini, polemik yang berlaku di antara UMNO dan Bersatu.

Terdahulu kata Takiyuddin, Pas berpendirian bahawa kerjasama dalam kalangan parti Melayu penting untuk masa depan politik negara.

Justeru menurut beliau, Pas tetap konsisten dengan pendirian sebelum ini untuk terus memantapkan hubungan kerjasama tiga serangkai bersama-sama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan rakan sekutu yang lain.

Parti itu yakin, pertikaian yang sedang berlaku akan dapat diselesaikan oleh pemimpin parti, demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Sehubungan dengan itu Pas komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama Tiga Serangkai Utama Parti Melayu/Pribumi UMNO, Bersatu dan Pas, bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.

“Pas amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar,”katanya.-MalaysiaGazette