Tony Fernandes

PETALING JAYA – Rundingan dengan institusi perbankan adalah pengalaman paling teruk semasa krisis ekonomi, kata Tan Sri Tony Fernandes.

Disebabkan itu, beliau berharap fungsi bank-bank diambil alih oleh teknologi kewangan (Fintech).

Pengasas AirAsia itu kesal kerana bank-bank telah melupakan syarikat-syarikat yang mempunyai prestasi baik sebelum krisis pandemik Covid-19 yang juga akan kembali stabil semasa pasca pandemik.

“Bank mudah lupa dengan hubungan baik selama 15 tahun ini, tiba-tiba (ketika pandemik) mereka boleh menjadi loan shark collector (ah long),” katanya ketika bercakap secara maya dalam wawancara Forum Ekonomi Belia yang memasuki hari kedua, hari ini.

Lantaran itu, secara sinis Tony berkata, kelangsungan industri bank mungkin tidak panjang.

Sedangkan, katanya, bank-bank sepatutnya mengekalkan style lama yang sentiasa mengutamakan hubungan baik dengan pelanggan-pelanggan untuk mengukuhkan syarikat-syarikat selepas krisis.

Sehubungan itu, bank-bank perlu melihat semula model perniagaan masing-masing, ujar beliau.

Dalama wawancara itu, Tony yang agak beremosi berkata, Covid-19 memberi impak yang tidak pernah dilihat dalam industri penerbangan sebelum ini.

Katanya, ketika negara dilanda gelombang pertama Covid-19 pada bulan April tahun lalu, KLIA2 tidak ubah seperti sebuah kawasan bencana kerana tidak kelihatan seorang pun di situ.

Beliau berharap program vaksin di seluruh dunia menjadi game changer kepada industri penerbangan dan industri kembali bermula dua, tiga minggu lagi.

“Saya jangka sempadan dibuka semula pada Julai ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.