Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan penyebaran maklumat berhubung initipati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bertarikh 4 Mac lalu melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, segala maklumat yang terkandung dalam sebaran tersebut adalah tidak benar, palsu dan tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT yang telah berlangsung.

Sehubungan itu, Bersatu akan membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu itu bagi menjejaki dalang di sebalik penyebarannya dan tidak teragak-agak untuk menggunakan semua lunas perundangan yang ada bagi melindungi kepentingan parti serta ahli-ahli parti.

Antara intipati mesyuarat yang tular itu ialah pelantikan Datuk Seri Azmin Ali sebagai timbalan perdana menteri menjelang persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Selain isu pelantikan itu, mesyuarat MPT itu turut meminta akar umbi parti untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya pada bulan Julai ini.

Turut ditularkan ialah Pas diminta menjadi orang tengah antara Bersatu dan UMNO untuk menangani ‘ketegangan’ antara dua parti tersebut.

Azmin juga didakwa telah memaklumkan kepada MPT bahawa lapan lagi wakil rakyat akan menyokong Perikatan Nasional.

Mesyuarat itu berlangsung lebih dua jam bagi membincangkan pendirian Bersatu berhubung dua keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Keputusan itu dinyatakan dalam surat Presiden UMNO bertarikh 26 Februari lalu kepada Muhyiddin berhubung keputusan Mesyuarat MT UMNO itu pada 19 Februari lalu di Janda Baik, Pahang.

Pendirian tersebut bakal dibincangkan juga dalam mesyuarat MPT Perikatan Nasional akan datang bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional yang lain iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan. – MalaysiaGazette