Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi penerangan mengenai pencapaian Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada enam fokus utama dalam usaha membantu meringankan beban rakyat sekaligus merancakkan semula ekonomi negara sepanjang tahun ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan penciptaan pekerjaan bagi mewujudkan peluang pendapatan, bantuan tunai dan pendigitalan dalam membina masa depan yang lebih baik.

Fokus lain adalah transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), membantu pemulihan perniagaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mempercepatkan projek bagi mendorong pemulihan ekonomi

Pelbagai bantuan akan disalurkan kepada rakyat pada tahun ini.

Bagi penciptaan pekerjaan, Majlis Pekerjaan Negara telah ditubuhkan dan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Skim Jana Kerja yang mewujudkan 250,000 pekerjaan menerusi Penjana Kerjaya turut diperkenalkan selain kemahiran semula dan peningkatan kemahiran sebanyak 200,000 pekerjaan serta Skim MySTEP yang menawarkan 50,000 pekerjaan baharu.

“Ia melibatkan sektor seperti perladangan, perusahaan sosial, koridor ekonomi, projek infrastruktur, PKS, industri dan GLC serta Kawasan Damansara,” kata Tengku Zafrul ketika pembentangan Sorotan Kejayaan dan Pencapaian Setahun Kementerian Kewangan di kementeriannya di sini baru-baru ini.

Pembentangan laporan itu sempena Pencapaian Setahun Malaysia Prihatin Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional.

Mengenai bantuan tunai pula, Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan terus komited meringankan beban yang dihadapi rakyat menerusi Bantuan Prihatin Rakyat yang melibatkan peruntukan sebanyak RM6.5 bilion yang diberikan kepada 8.5 juta penerima B40.

Selain itu jelas beliau, melalui Bantuan Kebajikan, kerajaan telah meningkatkan kelayakan daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 sebanyak RM1,169 kepada PGK 2020 sebanyak RM2,208.

Menurut beliau, permohonan kemudahan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat juga akan dimulakan pada bulan ini.

“Bantuan sosial bagi kumpulan rentan juga ditambah meliputi Orang Kurang Upaya (OKU), gelandangan dan miskin bandar manakala pengurangan kadar caruman KWSP dari 11 peratus kepada sembilan peratus.

“Moratorium juga diteruskan untuk bantuan pinjaman bersasar,” katanya.

Pendigitalan antara fokus kerajaan pada tahun ini.

Tengku Zafrul juga menarik perhatian mengenai fokus pendigitalan di mana pembiayaan sebanyak RM3.53 bilion melibatkan platform digital seperti JanaNiaga, Dana PENJANA Nasional dan MyCIF iaitu Pembiayaan Antara Rakan Setara – P2P dan Pendanaan Ekuiti Ramai telah diwujudkan.

Jelas beliau, pembiayaan itu untuk memacu penggunaan digital seperti Geran Pendigitalan dan Automasi PKS SME, Skim Transformasi Pendigitalan Industri dan Fasiliti Teknologi Tinggi.

Bagi keterangkuman digital, kerajaan menyediakan sehingga RM180 untuk golongan B40 yang dipadankan oleh syarikat telekomunikasi melalui Jaringan Prihatin di mana subsidi boleh digunakan untuk peranti baharu dan bil bulanan.

“Transformasi GLC pula melibatkan pengoptimuman GLIC yang melibatkan pelaburan dalam negara yang strategik seperti KWSP-KWASA Damansara, PNB Merdeka 118, Khazanah menerusi Subang MRO dan pelancongan Desaru.

“Ia juga melibatkan pemulihan kedudukan kewangan dan penstrukturan semula GLC selain tanggungjawab  sosial korporat seperti MySTEP, Tabung Cerdik dan Rangkaian Tindakan Balas Bencana GLC.

“Transformasi juga meliputi menyokong inovasi syarikat pemula dan agenda Bumiputera melalui pembangunan vendor, membina bakat profesional dan membantu pengembangan serantau,” katanya.

Tansformasi GLC tuurt melibatkan pengoptimuman GLIC yang melibatkan pelaburan dalam negara yang strategik.

Menurut Tengku Zafrul, pada tahun ini kerajaan turut memfokuskan usaha membantu pemulihan perniagaan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM2.5 bilion untuk PKS mikro melibatkan GKP Permai sebanyak RM1,000 bagi setiap PKS.

Beliau menambah, di bawah Program Subsidi Upah (PSU) pula sebanyak RM14 bilion diperuntukkan bagi sektor pelancongan dan runcit yang dilanjutkan selama tiga bulan manakala PSU Permai untuk semua sektor.

Kerajaan membantu pemulihan perniagaan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM2.5 bilion

Menurutnya, bagi kredit mikro, sebanyak RM1.9 bilion pinjaman disediakan  di mana saiz dana semasa pada tahun ini adalah RM1 bilion berbanding RM900 juta pada tahun lalu.

Ia melibatkan Bank Simpanan Nasional sebanyak RM300 juta, Agro Bank (RM350 juta), TEKUN Nasional (RM290 juta) dan YaPEIM berjumlah RM50 juta.

“Pada tahun ini, kerajaan juga memberi fokus untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dengan menetapkan nilai ambang lebih tinggi bagi perolehan kerja yang menggunakan kontraktor G1 dan G2 selain agensi dibenarkan mempakejkan perolehan tahunan bagi bekalan, perkhidmatan dan kerja kepada pakej lebih kecil.

“Selain itu, bagi memacu pemulihan ekonomi, kerajaan akan mempercepatkan pemerolehan bekalan vaksin Covid-19, meringkaskan proses perolehan sesuai dengan norma baharu selain memudahcara aliran tunai untuk perniagaan,” katanya.

Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek bagi merancakkan semula ekonomi.

— MalaysiaGazette