Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima suntikan vaksin di Langkawi hari ini.

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memastikan Covid-19 dapat dicegah dengan program Imunisasi Kebangsaan perlu disokong, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perkara itu kata bekas Perdana Menteri perlu bagi menarik lebih ramai penduduk terutamanya kepada golongan warga emas.

“Usaha ini perlu kita sokong. Kita sebolehnya mahu lebih ramai diberi vaksin untuk membantu usaha mengekang pandemik Covid19.

“Alhamdulillah selepas suntikan saya tidak berasa apa-apa yang luarbiasa,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Ujar Mahathir, beliau adalah individu yang disuntik bersama kumpulan kedua petugas barisan hadapan di pulau itu hari ini.

“Hari ini saya ke Pusat Pemberian Vaksin Covid19 Daerah Langkawi untuk lihat perjalanan proses vaksinasi bagi Fasa 1.

“Saya memilih untuk disuntik bersama kumpulan kedua frontliners di sini. Kumpulan pertama frontliners di Langkawi sudah divaksin lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut menasihatkan agar orang ramai untuk turut serta dalam program Imunisasi Kebangsaan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin rakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan Kuah, Hospital Langkawi dan para barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memastikan program vaksinasi berjalan lancar,” katanya lagi.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Mahathir Mohamad telah disuntik dengan vaksin Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Mahathir disuntik dengan vaksin di Langkawi pagi tadi.

“Terkini Tun Dr. Mahathir Mohamad telahpun menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Sultanah Maliha Langkawi pada pagi ini.

“Semoga Tun Dr. Mahathir diberikan pelindungan dan kesihatan yang baik dari jangkitan Covid-19,” tulis Noor Hisham di Facebook beliau hari ini.

Mahathir antara 220 ahli Parlimen yang merupakan kumpulan pertama yang diberikan suntikan vaksin Covid-19 bermula hujung bulan lalu.

Untuk rekod, Mahathir adalah individu tertua yang disuntik dengan vaksin Covid-19 setakat ini. – MalaysiaGazette