PUTRAJAYA – Pastinya tahun 2020 satu cabaran terbesar buat Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) apatah lagi ketika negara sedang berdepan dengan pandemik dunia, Covid-19.

Tanggungjawab serta peranan besar tergalas di bahu menteri yang diberi peranan untuk mengemudi kementerian itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Bercakap kepada media sempena Setahun Malaysia Prihatin di bawah kerajaan Perikatan Nasional, Saifuddin mengakui pelbagai cabaran terpaksa dilalui sepanjang 2020.

Katanaya, antara cabaran paling besar adalah terpaksa menangani berita palsu yang tersebar luas saban hari dengan rata-ratanya menimbulkan kebimbangan umum pada setiap masa.

Katanya, umpama barisan hadapan yang lain, Pasukan Respon Pantas bersiap siaga setiap kali menerima bermacam-macam laporan yang ditularkan di platform media sosial terutamanya berkaitan pandemik Covid-19.

“Maklumat betul, tepat dan sahih adalah satu keperluan penting dan cukup mendesak.

“Mengikut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pasukan Respon Pantas KKMM telah mengeluarkan 428 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu kepada orang ramai.

“MCMC juga sehingga 4 Mac lepas dalam satu kenyataan mendedahkan Polis Diraja Malaysia telah membuka 283 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19.

“Memang benar pihak berkuasa boleh ambil tindakan sewajarnya pada individu-individu yang melakukan perbuatan ini tetapi kita juga pada masa sama memerlukan kerjasama serta bantuan umum untuk tidak berkongsi berita palsu sebegini.

“Kita dari semasa ke semasa memang melakukan pendakwaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta polis namun saya amat berharap kami mampu melakukan lebih banyak usaha lain,” katanya.

Undang-undang telah memperuntukkan sebarang perkongsian berita yang bersifat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM50,000 atau sedua-duanya. 

Denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, KKMM ketika ini sedang menyediakan Kertas Kabinet berkaitan undang-undang antibuli siber.

Jelas beliau, isu antibuli penting malah sehingga kini tidak ada lagi undang-undang bagi kesalahan tersebut di negara ini.

“Benar, Malaysia mempunyai undang-undang lain berkaitan keselamatan siber tetapi bukan antibuli siber, walhal negara jiran seperti Singapura dan Filipina telahpun  menguatkuasakan undang-undang penting ini.

“Kita tidak boleh diam diri dan biarkan keadaan menjadi lebih teruk sebenarnya.

“Antara kajiselidik yang dilakukan Universiti Multimedia (MMU) menunjukkan kira-kira 85 peratus responden menyatakan bahawa perlunya satu undang-undang khusus bagi membendung kes-kes antibuli siber,” tegasnya. 

Kata beliau lagi, KKMM sendiri telah mencadangkan apa-apa yang berkaitan komunikasi Covid-19 dilaksanakan secara sistematik ketika mesyuarat pertama Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN). -MalaysiaGazette