Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi nadir pada perbicaraan kes berhubung pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu anak perempuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan minat untuk melabur dalam syarikat pengurusan hotel, Ri-Yaz Assets.

Saksi pendakwaan ke-93, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Fazli Zulkifli mendedahkan Datuk Nurulhidayah berminat untuk melabur di hotel di Bali, Indonesia itu bukan Yayasan Akalbudi.

Saksi itu juga berkata, hasil siasatannya mendapati Nurulhidayah sebenarnya tiada sebarang jawatan dalam Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, kata Muhammad Fazli, Ahmad Zahid mendakwa pihaknya melalui Yayasan Akalbudi berminat untuk melabur dalam syarikat perhotelan itu namun ketika siasatan oleh SPRM, saksi-saksi lain menyebut nama Nuruhidayah.

Kata Muhammad Fazli, keputusan untuk menggunakan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh Ahmad Zahid itu sebanyak RM17.9 juta itu diputuskan oleh Nurulhidayah dan ia juga tidak melalui pengetahuan Lembaga Pengarah Yayasan itu.

“Nurulhidayah berminat dengan saham hotel di Bali itu dan Yayasan Akalbudi akan membayar jumlahnya. Anak perempuan Datuk Ahmad Zahid dikatakan mempunyai kepentingan dalam pembelian saham itu dan bukannya Akalbudi. Itu hasil siasatan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Hari ini genap hari ke-48 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi  pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Saksi sebelum ini mendedahkan daripada RM17.5 juta wang berjumlah RM8.6 juta dibayar kepada Ri-Yaz Assets bagi tujuan pembayaran deposit pembelian saham sebanyak 60 peratus milik pemegang saham syarikat itu, Tan Sri Rashid Manaf oleh Nurulhidayah.

RM17.9 juta yang digunakan untuk pembelian sijil simpanan tetap dan saham.

Muhammad Fazli telah menunjukkan carta aliran pengeluaran wang tersebut di mahkamah sambil menjelaskan daripada jumlah itu, RM8.6 juta digunakan untuk membayar deposit saham kepada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd manakala RM9.3 juta bagi pembelian sijil simpanan tetap.

Dedah saksi lagi, keadaan Kewangan Rina-Yaz pada sebenarnya tidak begitu stabil.

Siasatan SPRM juga mendapati Nurulhidayah telah dilantik sebagai Pengarah Ri-yaz Assets pada 27 Januari 2017 bagi menggantikan Abdul Rashid yang letak jawatan sebagai pengarah pada tarikh sama.

“Datuk Nurulhidayah kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat tersebut pada 31 Januari 2017. Bagaimanapun, kedua-dua pihak iaitu Rashid dan Datuk Nurulhidayah tidak meneruskan perjanjian jual beli saham itu.

“Setelah perjanjian saham tersebut tidak diteruskan, Datuk Nurulhidayah dan Datuk Seri Ahmad Zahid meminta supaya wang berjumlah RM8.3 juta dikembalikan kepada Lewis & Co kerana ia adalah wang Yayasan Akalbudi,” jelasnya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datoh sedang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette