Instafamous, Fatin Amiera Zainal Abidin (tengah) keluar dari perkarangan mahkamah selepas selepas menghadapi lima pertuduhan pemilikan kosmetik tidak bernotifikasi di Mahkamah Petaling Jaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 08 MAC 2021.

PETALING JAYA – Pengasas produk yang juga instafamous, Fatin Amiera Zainal Abidin didenda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan memiliki produk kosmetik tidak bernotifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua tahun lalu.

Majistret M. Barath menjatuhkan hukuman denda tersebut terhadap wanita berusia 32 tahun itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan Fatin Amiera selaku orang kena saman (OKS) yang mewakili syarikat Amyera Beauty Resources dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan OKS membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama hingga lima, Fatin Amiera didakwa telah memiliki pelbagai jenis barangan kosmetik yang tidak bernotifikasi antaranya Amyera Beauty My Secret Cleanser, Night Cream, Flawless Booster Cream, Flawless Acne dan White Cream.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Neo Damansara, Bandar Damansara Perdana di sini pada 19 Februari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 dan bagi kesalahan seterusnya sehinga RM50,000.

Terdahulu Pegawai Pendakwa, Mohd. Syahnizam Mohd. Kassim dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Selangor memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal.

Bagaimanapun usahawan kosmetik yang tidak diwakili peguam itu memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana sudah tidak menjual produk tersebut.

Usahawan kosmetik yang mempunyai seramai 245,000 pengikut di Instagram itu merupakan isteri kepada Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.

Produk kosmetik yang dipasarkan di negara ini perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM sebelum produk tersebut boleh diimport, dikilang, diedarkan atau dijual. – MalaysiaGazette