KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mensasarkan sebanyak 14,487 pekerjaan menerusi program JomKerja@NCER, selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di wilayah ini.

Bakat tempatan yang berdaftar dengan JomKerja@NCER adalah pekerja separa mahir dan berkemahiran sepenuhnya daripada pelbagai industri pembuatan seperti E&E dan M&E yang baru diberhentikan, serta lulusan graduan dan lepasan sekolah.

Syarikat perekrut akan mengambil mereka bekerja dan memberikan latihan-tempat-kerja seperti yang termaktub di bawah terma dan syarat di bawah JomKerja@NCER.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, sejak program dilancarkan pada Ogos 2020, JomKerja@NCER sudah membantu mencipta hampir 5,000 peluang pekerjaan.

Ia termasuk dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan perniagaan pertanian dengan lebih RM21 juta dalam insentif yang disalurkan oleh NCIA kepada lebih 100 perniagaan yang beroperasi di NCER.

Negeri Pulau Pinang dan Perak merupakan peneraju dalam membuka peluang pekerjaan dengan masing-masing sebanyak 66.8% dan 21.1% disusuli Kedah dan Perlis sebanyak 7.3% dan 4.8% .

Menurutnya, dalam tempoh ini, NCIA akan memberi insentif kepada syarikat yang layak yang mana sebanyak 50% daripada gaji pekerja itanggung NCIA sehingga maksimum RM1,000 bagi setiap pekerja selama enam bulan.

NCIA berkata, Jabil Circuit Sdn. Bhd. dan Inari Amertron Berhad, pemain utama industri elektrik & elektronik (E&E) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), merekrut hampir 2,000 pencari kerja melalui kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi program JomKerja@NCER.

”JomKerja@NCER adalah program yang dirangka dengan baik bagi syarikat seperti kami untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan kami dalam tempoh yang mencabar ini.

“Dengan insentif yang diberikan, kami kini dapat menjadi lebih kompetitif untuk memenuhi permintaan produk kami yang semakin meningkat,” kata KC Lau, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Inari Amerton.

Sementara itu, Pengawal Kewangan Kanan Jabil Circuit, KC Chen berkata, wabak Covid-19 telah memberi cabaran kepada ramai rakyat Malaysia dan syarikat itu akan terus menyokong NCIA dalam usahanya untuk membantu pekerja dan komuniti perniagaan.

Jebasingam berkata, pada akhir tahun lalu, satu kajian lapangan dilakukan oleh NCIA dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menilai dan memahami dengan lebih baik kesan keseluruhan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama mengenai kadar pengangguran dan pemberhentian pekerja di wilayah ini.

Hasil daripada kajian ini mendapati, perlunya program modal insan bersepadu yang disasarkan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja bagi tujuan meningkatkan tahap pekerjaan dan kehidupan mereka.

Program ‘place and train’ ini berperanan untuk memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir untuk menyokong industri dan usahawan (MNCs, LLC, SMEs) yang menjadi tulang belakang ekonomi dan membantu menangani keperluan segera kumpulan rentan dan industri yang terkesan.

Industri dengan potensi pertumbuhan positif pasca-pandemik yang kukuh seperti sektor Pembuatan, E&E, Peralatan & Mesin (M&E), Ekonomi Digital, Agribio dan Logistik adalah digalakkan untuk turut serta dalam JomKerja@NCER.

Situasi menang-menang ini memberi peluang pekerjaan bagi mereka yang diberhentikan dari sektor yang sangat terkesan oleh wabak pandemik seperti pelancongan, penerbangan dan maritim, tambah beliau. – MalaysiaGazette